suria

Kakak larang main TikTok, budak 9 tahun 'belanja' video mengadu di laman sosial

Aqil bersama kakak sulungnya, Syahirah.

PETALING JAYA: Gara-gara tidak mendapat keizinan kakaknya untuk menggunakan aplikasi TikTok, seorang kanak-kanak lelaki menghasilkan video luahan hatinya yang tidak disangka-sangka tular di media sosial.

Menerusi video berdurasi 2 minit 12 saat itu, Muhammad Aqil Ahmad Nahar, 9, berkata, dia juga tidak dibenarkan bermain aplikasi permainan popular, Mobile Legend.

Video yang dimuat naik menerusi akaun Facebook bapanya pada Khamis lalu tular dan menerima lebih 190,000 tontonan.

Malah, ia turut dimuat naik ke Twitter dan menerima lebih 24,000 ulang kicau (retweet).

Kakak kepada Aqil, Nur Syahirah Ahmad Nahar sewaktu dihubungi mStar Online mengakui tidak membenarkan adiknya menggunakan aplikasi berkenaan kerana usianya yang masih muda.

"Aqil memang pernah install kedua-dua aplikasi itu dalam telefonnya. TikTok ni bagi saya macam benda tak berfaedah.

"Nanti dia dah ketagih, hari-hari nak buat video TikTok, macam mana? Mobile Legend pula, wujud karakter hero yang seksi, itu sahaja sebabnya.

"Dia budak yang ceria, jadi seeloknya gunakan bakat bercakap dia tu dengan baik daripada main benda tak berfaedah," kata Syahirah pada Selasa.

Paparan skrin video Aqil yang tular di laman sosial.

Mengulas mengenai reaksi netizen yang terhibur dengan keletah adiknya, Syahira berkata, Aqil sememangnya seorang yang ceria dan petah berbicara.

Kata Syahirah lagi, dia juga tidaklah begitu berkeras dengan adik bongsunya itu, namun perlu menapis aplikasi yang bersesuaian dengannya.

"Permainan yang mengarut kita tapis la. Tapi ada juga permainan yang menguji minda. Kami tak menentang permainan macam tu kalau ia memberi kebaikan kepada Aqil," katanya.

Video berkenaan mula tular setelah dimuat naik ke laman Facebook gara-gara keletah Aqil yang disifatkan sebagai bersahaja dan kelakar.

Malah, ramai yang turut terhibur apabila kanak-kanak itu bercerita mengenai kekecewaannya yang tidak diberi keizinan menggunakan aplikasi TikTok, seperti kanak-kanak lain.

Sementara itu, rata-rata netizen turut memberi komen dan mengakui terhibur melihat aksinya dalam video berkenaan.

"Ya Allah nak nangis aku ketawa. Walaupun adik ni lawak, tapi respect gila sebab dia dengar kata apa yang family kata tak boleh," tulis @mimieeka.

"Kepada kakak budak ni, tolong jangan delete video video dia. Tolong post. Yang single sendu macam saya perlukan entertainment macam ni. Sekian," tulis @fareezasofea pula.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain