suria

Warga Australia di Indonesia dinasihat tidak naik pesawat Lion Air susulan nahas

Polis Indonesia mengangkat sebahagian serpihan daripada pesawat Lion Air JT610 yang terhempas, di pelabuhan di utara Jakarta pada Selasa. Foto AFP

PETALING JAYA: Pegawai dan kontraktor kerajaan Australia dinasihatkan untuk mengelakkan perjalanan menerusi penerbangan Lion Air, susulan nahas membabitkan pesawat itu pada Isnin.

Satu notis dimuat naik pada Selasa di laman web di bawah Jabatan Perdagangan dan Hal Ehwal Luar Negeri Australia, smarttraveller, menasihatkan individu tidak menggunakan "Lion Air atau anak syarikat penerbangan tersebut yang beroperasi di luar Australia".

Ia menambah, keputusan tersebut akan dikaji semula apabila penemuan siasatan nahas itu adalah jelas.

"Pengembara warga Australia harus membuat keputusan mereka sendiri untuk menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan yang mana," menurut nasihat tersebut.

Ia turut menasihatkan warga Australia supaya 'lebih berhati-hati' di Indonesia, secara keseluruhan termasuk Bali.

"Tahap lebih tinggi perlu diamalkan di wilayah-wilayah Sulawesi Tengah dan Papua," katanya.

Ia meletakkan Indonesia pada Tahap 2 daripada empat tahap skala nasihat perjalanannya, dengan Tahap 1 merujuk pada "amalan langkah keselamatan normal", Tahap 3 adalah "mempertimbangkan semula keperluan anda untuk mengembara" dan Tahap 4 sebagai "jangan mengembara".

Malaysia, Brunei, Kemboja dan Singapura merupakan antara negara-negara di Asia Tenggara yang disenaraikan dalam Tahap 1 buat pengembara warga Australia.

Laman web tersebut turut menasihatkan pengembara warga Australia untuk "mengamalkan langkah berhati-hati dengan tahap tinggi" di Bali, Surabaya dan Jakarta kerana ancaman serangan pengganas yang tinggi.

"Ambil perhatian terhadap keselamatan anda sepanjang masa. Pantau media untuk maklumat terkini mengenai keselamatan atau risiko keselamatan," tambahnya.

Pada Isnin, pesawat Lion Air bagi penerbangan JT610 yang membawa 189 orang, terhempas di laut, 13 minit selepas ia berlepas. - The Star

Lion Air

Artikel Lain