LUMUT: Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong menegaskan uniform yang dipakainya semasa pemeriksaan barisan tentera baru-baru ini adalah pakaian korporat Kementerian Pertahanan. Chin Tong berkata, tindakan segelintir pihak yang membuat penyebaran kononnya beliau memakai pakaian tentera komunis dilihat sebagai tidak bertanggungjawab dan fitnah. "Itu pakaian korporat kementerian dan bukan saya sahaja yang pakai tetapi Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu juga pakai kerana kami adalah rakyat biasa tidak perlu memakai uniform tentera. "Itu keputusan bersama yang diambil kerana kami tidak melalui kesukaran serta terlibat dalam latihan ketenteraan jadi kami tidak layak memakai uniform tentera walaupun menteri," katanya. Beliau berkata demikian selepas majlis Perletakan Lunas Kapal Littoral Combat Keempat (LCS4), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Limbungan Boustead Naval Shipyard (BNS) di sini, Rabu. Menurutnya, mungkin kebanyakan rakyat tidak mengetahui bahawa itu adalah uniform Kementerian Pertahanan untuk kakitangan yang bukan tentera sehingga ada yang menyalahtafsir ia seakan pakaian komunis. "Saya faham kalau dulu menteri pakai seragam tentera jadi ramai tidak tahu ada baju uniform ini dan bagi saya ia adalah perkara remeh yang dibangkitkan sesetengah pihak," katanya. Sebelum ini tular di laman sosial mendakwa Chin Tong memakai uniform komunis di hadapan tentera Melayu hingga mendatangkan kemarahan netizen. -SinarHarian