suria

Hampir putus asa, enggan hadir konvo, pemuda sado menangis di pusara bapa

(Gambar kiri) Jimmy sewaktu menziarah pusara bapanya, April lalu. (Gambar kanan) Jimmy membawa sijil ijazah sarjana muda miliknya semasa menziarah pusara bapa, pada Jumaat. Foto Instagram jimmyjejai

PETALING JAYA: Kejayaan menamatkan pengajian yang diraikan dalam majlis konvokesyen pastinya menjadi saat yang menggembirakan.

Namun hanya Tuhan yang tahu, jauh di sudut hati seorang pemuda berbadan ‘sado’, terpendam satu perasaan yang penuh emosi.

Menggelarkan dirinya sebagai ‘Alang’, dia sebenarnya mengharapkan ibu bapanya, Baba dan Mama hadir menyaksikan dirinya menggenggam segulung ijazah pada hari bersejarah itu.

Perkongsian Jimmy di laman sosial Instagram yang menyentuh emosi. Turut dimuat naik adalah salah satu gambar Jimmy bersama ibu dan adiknya pada majlis konvokesyen di UPSI.

“Dulu masa pergi tengok Angah (kakak) konvo, Alang selalu berharap satu hari nanti Baba dan Mama akan ada sekali untuk tengok Alang atas pentas ambil segulung ijazah. Keluar je dari dewan Alang tengok semua orang peluk mak ayah, and I wish I could get a warm hug from you too Baba (dan saya berharap mendapat pelukan hangat daripada Baba juga.

“Masa mula-mula daftar masuk UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris), Baba dengan Mama lah orang yang paling gembira dan teman Alang dari pagi sampai petang. Tapi Baba tak sempat tengok anak Baba ni habiskan pengajian.

“Ramai orang tanya kenapa tak upload (muat naik) gambar konvo lagi. Sekarang saya beritahu kenapa, sebab dari kecil sampai ke besar, Baba sayalah orang pertama yang akan tahu keputusan peperiksaan anak-anak. Jadi, sekarang saya bagi Baba tengok ijazah saya dulu sebelum saya bagi orang lain tengok,” katanya menerusi status mengusik jiwa di akaun Instagram miliknya pada lewat petang Jumaat.

Pemuda berbadan sasa ini turut memuat naik gambar sekeping sijil di hadapan kubur arwah bapanya, manakala dua gambar lagi menunjukkan dia bersama ibu dan adiknya pada hari konvokesyen dan dirinya memakai jubah dan topi graduasi.

Jimmy menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains dan Kejurulatihan di UPSI.

Pemuda berkenaan, Ahmad Muzaimi Abdul Bakhtiar, 24, berkata, pada awalnya dia tidak mahu menghadirkan diri ke majlis konvesyen di UPSI di Tanjung Malim, Perak pada Khamis lalu, berikutan kesedihan di atas pemergian bapanya  akibat serangan jantung pada 18 Februari 2017, masih dirasai.

Turut dikenali sebagai Jimmy, dia memberitahu, hasrat itu dipendamnya kira-kira tiga minggu lalu, sehingga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan.

“Jujurnya, itu ikut dalam hati. Saya dah beritahu Mama yang tak mahu pergi (konvo). Mama tanya kenapa, saya tak beritahu tapi Mama boleh tahu sebabnya.

“Tapi, saya masih bersyukur kerana ada Mama, yang banyak memberi sokongan kepada saya. Akhirnya saya memutuskan untuk hadir pada Rabu, sehari sebelum majlis konvokesyen. Terima kasih kepada Mama dan rakan-rakan yang memberi sokongan dan semangat kepada saya,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains dan Kejurulatihan UPSI ini ketika dihubungi mStar Online pada Sabtu.

Jimmy begitu rapat dengan arwah Baba. Foto ihsan Ahmad Muzaimi Abdul Bakhtiar

Di atas semangat untuk berjaya yang begitu menebal, penerima Anugerah Bintang Harapan Tegap TV sempena kejohanan badan cantik Mr Enrich 2017 ini, nekad menziarahi pusara bapanya di tanah perkuburan Islam dekat Parit Buntar, Perak pada Jumaat, selepas solar Asar.

Hadir secara bersendirian, Jimmy yang merupakan anak kelahiran Muar dan dibesarkan di Pulau Pinang, turut membawa sijil ijazah sarjana mudanya ke pusara.

Mengimbas kembali, katanya, arwah bapa pernah berpesan supaya dia belajar rajin-rajin dan sentiasa bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan.

“Saya menangis sambil tunjuk sijil ijazah sarjana muda ni. Saya reda dengan pemergian Baba, tapi sekurang-kurangnya saya sebagai anak mahu buktikan kepada Baba yang saya telah menamatkan pengajian.

“Saya nekad dalam hati dapat ijazah ni, saya nak ubah nasib keluarga. InsyaAllah, saya nak bantu menyara hidup keluarga, ambil alih sebahagian daripada tanggungjawab Baba. Dengan sijil ini, saya buktikan kepada Baba sebagai permulaan untuk saya terus berjaya,” katanya yang juga pernah memenangi tempat kedua kategori bakat baru dalam kejohanan Mr Enrich 2017. 

Bersama Mama yang banyak memberi sokongan dan semangat.

Walaupun seorang yang lasak dan berbadan tegap, namun anak ketiga daripada empat beradik ini menyifatkan tangisannya itu sesuatu yang penuh bermakna.

“Kalau luaran kita tegap macam mana sekali pun, tapi dalaman antara kita dengan yang atas (Tuhan) saja yang tahu. 

“Jadi, tak kisahlah tegap ke sado pun, kalau ada kasih sayang tu, air mata kita akan tetap jatuh juga. Dan itu yang saya rasa bila terkenangkan arwah Baba,” katanya.

Walaupun berbadan sasa, Bintang Harapan Tegap TV 2017 ini tidak kisah menitiskan air mata demi insan tersayang.

Dalam pada itu, Jimmy turut berpesan kepada mereka yang mungkin berdepan nasib yang sama di atas pemergian insan tersayang supaya tidak putus harapan untuk menggenggam segulung ijazah, malah terus melangkah ke hadapan.

“Sama ada mereka ada ke tak ada. Yang pergi tetap pergi, tapi lakukan sesuatu untuk mereka bangga dengan kita. Tanam semangat, insyaAllah akan dipermudahkan,” katanya yang berhasrat untuk menjadi Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) atau pegawai sukan, sebelum menyambung pengajian dalam peringkat ijazah sarjana.

Artikel Berikut

Artikel Lain