SINTOK: Membeli kereta baharu antara alasan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang telah tamat pengajian memohon rayuan penangguhan bayaran balik pinjaman mereka. Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, alasan itu tidak munasabah kerana sekiranya peminjam itu mampu membayar ansuran bulanan kereta makanya mereka juga mampu untuk membuat bayaran balik pinjaman PTPTN misalnya ada serendah RM90 sebulan. "Rayuan ini banyak tapi kadang-kadang saya tengok, yerlah kalau rayuan itu (seperti) tak mampu bayar lagi sebab tak kerja, ibu bapa sakit, itu kita boleh fikirlah. Tetapi kalau sekiranya mohon rayuan penangguhan sebab nak beli kereta untuk kerja, agak tak adillah sekiranya mohon penangguhan daripada PTPTN. "...kalau boleh buat macam itu, sepatutnya bolehlah bayar PTPTN. Kadang-kadang (peminjam yang) minta penangguhan bayar (PTPTN) RM90 sebulan, kereta itu bayar RM600 boleh," katanya pada sidang media selepas majlis santai bersamanya di Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, Ahad. Wan Saiful berkata, situasi itu menunjukkan satu budaya masyarakat yang mementingkan diri sendiri apabila sikap mereka yang lebih mengutamakan kereta baharu daripada membayar balik hutang PTPTN yang telah pun digunakan mereka. "Ini isu sikap. Prioritinya di mana...realitinya dia (peminjam) dah ambil (pinjaman PTPTN), dan guna belanja duit PTPTN itu, dapat dah faedah, sepatutnya kena lunas balik pinjaman supaya orang lain boleh dapat pinjaman itu," katanya. Sebubungan itu, beliau berharap peminjam perlu lebih bertanggungjawab menunaikan tanggungjawab membuat bayaran balik pinjaman PTPTN mereka supaya pelajar baharu lain boleh mendapat manfaat sama nanti. Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, peminjam PTPTN yang bekerja dengan gaji RM1,000 ke atas dan menghadapi masalah kewangan untuk membuat pembayaran balik secara potongan gaji berjadual antara dua hingga 15 peratus boleh mengemukakan rayuan kepada perbadanan tabung pendidikan itu. "Sudah tentu mereka masih boleh membuat rayuan...kita akan tengok kepada rayuan-rayuan yang alasan munasabah," katanya. Beliau berkata, dijangkakan pelaksanaan pemotongan gaji secara berjadual untuk bayaran balik pinjaman PTPTN itu dapat dilakukan pada suku pertama tahun depan. "Dalam tempoh dua bulan ini pihak kita akan menjalankan penerangan di seluruh negara melibatkan pihak berkepentingan sama ada penduduk setempat, pihak universiti, NGO (Badan Bukan Kerajaan) dan juga media mengenai pelaksanaan pemotongan gaji secara berjadual ini," katanya. Dalam pembentangan Bajet 2019 Jumaat lepas, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyatakan kerajaan memperkenalkan kaedah pembayaran balik pinjaman PTPTN menerusi potongan gaji berjadual dengan ia hanya diguna pakai untuk peminjam yang berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan. - Bernama