PETALING JAYA: Sikap tanggungjawab seorang jururawat yang membantu seorang mangsa kemalangan mendapat perhatian orang ramai. Nur Syuhada dari bahagian Neurosurgery, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, Johor dalam perjalanan pulang selepas tamat waktu bekerja Ahad lalu. Dalam perjalanan, dia ternampak seorang mangsa kemalangan berada di tengah jalan. Dia dengan segera memberhentikan keretanya dan menghalang kereta lain sebelum membawa mangsa ke tepi jalan. Malah dia turut menenangkan mangsa kemalangan tersebut. Tindakan Nur Syuhada itu juga mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim. "Tahniah saya ucapkan kepada jururawat Nur Syuhada dari Hospital Sultanah Aminah kerana menunjukkan teladan yang baik. "Inilah contoh wirawati yang berhati mulia, sentiasa berbakti walaupun di luar waktu kerja mereka," ujar Tunku Ismail menerusi Facebook rasmi miliknya. Dalam pada itu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor di laman Facebooknya turut mengucapkan syabas kepada Nur Syuhada. "Anda berjaya membuatkan masyarakat malaysia bangga dan terharu dengan sikap tanggungjawab tidak kira di mana pun berada. "Anda membantu bukan kerana wang ringgit tetapi anda membantu kerana tanggungjawab sebagai jururawat kerajaan Malaysia."