suria

Tong gas bertaburan atas jalan

JOHOR BAHRU: Puluhan tong gas bertaburan di atas jalan raya selepas lori yang membawa muatan tersebut melanggar belakang sebuah treler di KM20 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, dekat Kota Tinggi pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah berkata kemalangan yang dilaporkan pada 11.30 pagi itu turut mengakibatkan pemandu lori dan treler berkenaan mengalami kecederaan ringan.

“Punca kejadian dipercayai disebabkan kecuaian pemandu lori jenis Isuzu berkenaan yang dipercayai gagal mengawal kenderaannya sehingga melanggar belakang treler tersebut,” katanya yang dihubungi pada Rabu.

Ashmon berkata kejadian berkenaan bagaimanapun sedang disiasat lanjut mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Penawar Penguasa Bomba Kanan II Abd Rahim Abdul Rani berkata sebuah jentera bersama empat anggota bomba ke lokasi kejadian bagi membantu menyelamat.

“Pada mulanya bomba dimaklumkan bahawa pemandu lori itu tersepit di dalam kenderaannya, namun, sejurus tiba kita (bomba) dapati dia sudah keluar sendiri dari kenderaan itu dan hanya cedera di bibir,” katanya.

Beliau berkata pihaknya membantu mengalihkan tong gas berkenaan dan operasi terbabit selesai pada 12.05 tengahari.

Katanya beliau difahamkan pemandu lori itu dibawa ke klinik oleh seorang rakannya untuk rawatan. - BERNAMA

tong gas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain