PETALING JAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui meminta Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membubarkan parti. Pengerusi Bersatu itu berkata, beliau bertindak demikian kerana Umno tidak lagi mewakili perjuangan dan prinsip asalnya. "Tak ada lagi dah Umno. Cuma ada satu badan yang didaftar, tapi prinsip dan perjuangannya sudah tidak ada," katanya menerusi video yang dimuat naik di halaman Facebooknya, pada Jumaat. "Apa perlunya ahli-ahli Umno ini kekal dalam parti yang sudah tinggal perjuangannya? Yang utamakan duit, 'cash is king'. Sebab itu Umno seperti itu perlu dibubar," katanya. Dr Mahathir berkata, jika ahli Umno mahu menyertai parti lain termasuk Bersatu, mereka perlu menggugurkan sikap 'cash is king' yang menyebabkan Umno, parti yang telah lama berjuang dan dipandang tinggi, tetapi dibenci oleh rakyat Malaysia. "Dulu, Umno tak pernah kalah. Ia kalah kerana sudah menyeleweng, disebabkan pemimpin yang utama duit, wang tunai daripada perjuangan (yang sebenar)," katanya. Dr Mahathir turut memberitahu bahawa Bersatu bukan parti 'cash is king' dan tidak akan menerima mereka yang memikirkan untuk menyertai parti politik yang akan memberikan mereka peluang (untuk memperkayakan mereka sendiri). "Kita berjuang untuk agama, bangsa dan negara," katanya.