suria

Mahkamah keluar waran tangkap terhadap Shahidan Kassim

Datuk Seri Shahidan Kassim

KANGAR: Mahkamah Sesyen Kangar hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim kerana gagal hadir untuk menghadapi pertuduhan dipercayai kes mencabul seorang gadis bawah umur, baru-baru ini.

Waran itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Johari Abu Hassan susulan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail.

Bagaimanapun peguam yang mewakili Shahidan, Syed Muhamad Anwar Syed Lokman Hakim membantah pengeluaran waran itu kerana anak guamnya dan beliau sendiri tidak dimaklumkan mengenainya lebih awal.

"Saya hanya mendapat tahu pengeluaran waran ini semasa berada di mahkamah pagi ini sedangkan anak guam saya berada di luar kawasan," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan memohon semula kepada mahkamah untuk membatalkan waran tangkap tersebut.

"Kes berprofil tinggi seperti ini perlulah dimaklumkan lebih awal apatah lagi melibatkan ahli politik. Shahidan tidak lari ke mana-manapun kerana beliau menetap di Perlis. Waran tangkap hanya dikeluarkan jika beliau melarikan diri," katanya.

Berdasarkan status yang dimuat naik Shahidan, Anggota Parlimen Arau itu sedang berada di Tanah Suci Mekah kerana menunaikan ibadat umrah.

Baru-baru ini tular dakwaan Shahidan mencabul seorang gadis berusia 15 tahun 11 bulan yang merupakan ahli kumpulan buskers yang ditaja oleh beliau.

Shahidan bagaimanapun menafikan perbuatan itu yang didakwa berlaku pada 21 Oktober lepas, malah laporan polis terhadapnya oleh remaja itu telah ditarik balik.

Bapa remaja itu turut menyatakan bahawa perkara itu telah diselesaikan secara baik dan keluarga mereka anggap tidak ada apa yang perlu dihebohkan.
-- BERNAMA

Datuk Seri Shahidan Kassim

Artikel Lain