suria

TMJ, isteri terlibat kempen TinDAK

Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

JOHOR BARU: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan berita kematian bayi perempuan berusia 11 bulan, Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal sebagai amat menyakitkan hati dan mengganggu perasaan.

Dalam satu posting di Facebooknya pada Isnin, Tunku Ismail berkata beliau dan isterinya, Che Puan Khaleeda akan menjadi sebahagian daripada kempen Tindak Demi Anak Kita (TinDAK) untuk menyokong dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penderaan seksual kanak-kanak.

Kempen itu dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Liga Wanita Johor (Jewel).

"Saya dan isteri sangat prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak dari semua peringkat umur kerana kami juga adalah ibu bapa.

"Penderaan seksual kanak-kanak adalah sesuatu yang tidak boleh dianggap ringan kerana ia tidak boleh diterima oleh pelbagai peringkat, termasuk agama," katanya.

Menurut Tunku Ismail, ahli keluarganya sentiasa menzahirkan kebimbangan mereka mengenai isu tersebut sebelum ini dan akan terus menyokong kempen seumpama itu.

"Bonda dan adik perempuan saya Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan Tunku Puteri Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim akan meneruskan kempen seperti ini dengan harapan dapat membawa kesedaran terhadap perkara seperti ini," katanya.

Nur Muazara Ulfa atau panggilan manjanya, Zara meninggal dunia selepas dua hari bertarung nyawa di Hospital Serdang apabila dimasukkan ke hospital itu dalam keadaan tenat pada pukul 3.05 petang, Rabu lalu.

Kematian bayi pe­rempuan itu menarik perhatian seluruh masyarakat di negara ini selepas ibunya berkongsi nasib yang menimpa anaknya itu di laman sosial yang menjadi mangsa manusia ‘buas’ sebelum anaknya itu me­nemui aja, pada pukul 10.30 pagi Jumaat lalu.

Polis telah menahan pengasuh dan suaminya untuk membantu siasatan.

TMJ, TinDAK, Nur Muazara Ulfa

Artikel Lain