suria

Isa Samad dimasukkan ke IJN

Isa Samad.

SEREMBAN: Bekas pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur untuk pemeriksaan rutin.

Isterinya, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid berkata, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berusia 69 tahun itu dirawat di hospital sejak 12 November lepas, berada dalam keadaan baik.

"Ramai yang menghubungi saya bertanya tentang keadaannya.

"Beliau dimasukkan ke hospital untuk pemeriksaan rutin yang dilakukannya sekali setiap lima tahun," katanya.

Baru-baru ini, Isa bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson 13 Oktober lalu, yang dimenangi oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Isa, yang merupakan menteri besar selama 22 tahun, turut pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Linggi dan Bagan Pinang, serta Ahli Parlimen Jempol.

Pada Sabtu lalu, The Straits Times melaporkan bahawa Isa mungkin didakwa di atas penyalahgunaan kuasa berhubung dengan pembelian sebuah hotel di Sarawak pada harga yang tinggi semasa beliau menjadi pengerusi Felda.

Memetik sumber, ia memberitahu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengesyorkan pertuduhan tersebut kepada Peguam Negara selepas melengkapkan siasatan mereka ke atas kes pembelian hotel Merdeka Palace di Kuching pada 2014.

Satu lagi sumber juga disebut dalam laporan berita sebagai berkata, SPRM meneliti untuk mendakwa Isa di bawah Seksyen 23 Akta SPRM kerana penyalahgunaan kuasa.

Merdeka Palace Hotel and Suites, sebuah hotel bertaraf lima bintang, dibeli oleh anak syarikat Felda Investment Corporation pada harga RM160 juta, apabila dikatakan ia hanya bernilai RM110 juta.

Isa merupakan pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017. - The Star

Isa Samad, IJN, Felda

Artikel Sebelum

Rosmah beri keterangan di SPRM

Artikel Berikut

Artikel Lain