KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tiba di kompleks mahkamah dekat sini untuk menghadapi pertuduhan rasuah. Berbaju kurung kuning sedondon dengan selendang, Rosmah tiba kira-kira pukul 2.06 petang ditemani suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak. Najib turut memegang erat tangan Rosmah ketika mereka berjalan menuju ke Mahkamah Sesyen. Dalam pada itu, Tengku Adnan yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada Rabu memakai kemeja batik berwarna biru, tiba di mahkamah kira-kira pukul 1.54 petang ditemani sekumpulan penyokongnya. Terdahulu, beliau dilihat meninggalkan Ibu Pejabat SPRM dengan menaiki kereta Toyota Alphard berwarna hitam kira-kira pukul 1.25 petang Khamis. Rosmah ditemani Najib. Ahli Parlimen Putrajaya itu akan didakwa bersama dengan ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon berhubung penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor, 44, turut akan didakwa bersama. Sumber itu berkata, kesalahan-kesalahan yang melibatkan Rosmah, 66, dan Rizal, 44, dipercayai dilakukan pada 2016 dan 2017 manakala kes melibatkan Tengku Adnan, 67, dan Tan, 70, didakwa berlaku pada 2013 dan 2016. Kes itu akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad, Azura Alwi dan Rozina Ayob pada pukul 2.30 petang. Pertuduhan ke atas mereka dibuat di bawah Seksyen 6 Akta Suruhanjaya Anti-Dadah Malaysia 2009 bagi kesalahan menerima gratifikasi yang boleh membawa maksimum penjara 20 tahun, dan denda tidak lebih daripada lima kali ganda jumlah berkenaan atau nilai gratifikasi itu yang menjadi perkara utama dalam kesalahan itu, yang mana gratifikasi seumpama mampu dinilai atau nilai semulajadi kewangan itu, atau RM10,000 yang mana lebih tinggi jika disabit kesalahan.