suria

Trend polis bersara awal di tahap membimbangkan - KPN

Mohamad Fuzi ketika berucap selepas memeriksa perbarisan kawalan kehormat dan penyampaian Sijil Tamat Kursus Asas Kadet Inspektor dan Kadet Sarjan Siri 1/2018 di Pulapol. - Bernama

KUALA LUMPUR: Peningkatan trend bersara awal di kalangan pegawai dan anggota polis berada di tahap membimbangkan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Tahun ini sehingga Oktober lebih 5,000 pegawai dan anggota telah bersara, kata beliau.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 2,446 anggota polis memilih untuk bersara awal (pilihan sendiri) dan selebihnya bersara wajib.

“Trend bersara awal atau pilihan sendiri ini meningkat sejak lima tahun kebelakangan ini atas pelbagai faktor.

“Antara alasan yang diberikan ialah kerana terdapat anggota  keluarga yang sakit, menghadapi tekanan atau bebanan kerja yang tinggi dan menghadapi masalah kesihatan yang memaksa diri untuk bersara,” katanya kepada pemberita selepas hadir Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan Kadet Inspektor dan Kadet Sarjan di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis(Pulapol) di sini, Sabtu.

Beliau berkata setiap tahun, lebih 5,000 pegawai dan anggota akan bersara dan menjangka sebanyak 7,000 pengambilan baharu akan dilakukan bagi mengimbangi semula jumlah yang bersara.

Tambah Mohamad Fuzi, trend bersara awal ini juga merugikan Polis Diraja Malaysia(PDRM) kerana kehilangan ramai pegawai berpangkat tinggi dan anggota yang berpengalaman luas.

"Bagi mengisi kekosongan, tahun ini sahaja, PDRM menyasarkan pengambilan rekrut baharu seramai 7,000 orang.

"Kami berharap masalah serta trend bersara awal ini dapat diatasi dan kerajaan dapat memenuhi hasrat PDRM untuk mendapatkan rekrut baharu mengikut keperluan agar tidak menjejaskan khidmat kepada komuniti," jelasnya.  

Seramai 248 anggota Kadet Inspektor dan 146 Kadet Sarjan lelaki dan wanita yang berjaya menamatkan latihan menyertai perbarisan tamat kursus asas kadet.

Pada upacara itu Kadet Inspektor Bernadette Thien Mui Ling dan Kadet Sarjan Norashikin Zamri telah diumumkan  sebagai peserta terbaik keseluruhan latihan. - Bernama

PDRM

Artikel Lain