SHAH ALAM: Mana-mana papan tanda nama jalan yang sebelum ini disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam bentuk tulisan Bahasa Melayu dan Jawi perlu dikekalkan dan amat tidak wajar apabila ada tindakan menukarnya ke tulisan bahasa lain. Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkata, kelakuan menukar tulisan Jawi kepada bahasa lain seperti Bahasa Cina dan Tamil boleh dianggap sebagai biadab. Menurutnya, perbuatan itu biadab kerana cuba membuang khazanah Melayu, ini kerana tulisan Jawi adalah khazanah Melayu. “Jadi membuangnya dan menempatkannya dengan tulisan bahasa Cina contohnya merupakan satu usaha yang sangat tidak harmoni dalam konteks Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas berkenaan papan tanda nama jalan di Shah Alam, Selangor yang sebelum ini meletakkan tulisan Bahasa Melayu dan Jawi kemudiannya ditukar kepada tulisan bahasa Cina dan mengekalkan Bahasa Melayu. Mohamad Saleeh berkata, umumnya untuk menukar tulisan pada papan tanda nama jalan perlu mendapatkan kebenaran daripada PBT terlebih dahulu. “Dan apabila PBT membenarkan tulisan Jawi diubah ke tulisan lain, ini satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku. “Sama ada ini arahan daripada orang politik atau usaha PBT itu sendiri (menukar tulisan Jawi) jelas ini satu perbuatan yang perlu segera dibanteras,” katanya. Mohamad Saleeh memberitahu, perkara ini jika tidak ditangani dengan segera wujud kebarangkalian ia akan melarat di semua bandar khususnya mana-mana kawasan yang dipimpin oleh mana-mana parti politik yang ada kepentingan perkauman. “Wujud juga kebarangkalian kaum lain menuntut agar bahasa mereka juga diguna pakai pada papan tanda nama jalan juga akan berleluasa,” katanya lagi. Terdahulu, seorang penduduk Shah Alam di akaun Twitternya mempersoalkan mengapa mesti papan tanda nama jalan di kawasannya bertulisan bahasa Cina. Individu ini juga mempersoalkan mana hilangnya tulisan Jawi yang sebelum ini dugunakan pada papan tanda nama jalan itu. Beberapa keping gambar juga di muat naik pada paparan Twitter itu dan tular di media sosial. Dalam pada itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ketika memberi maklum balas kepada pengguna Twitter yang mengetengahkan isu ini memaklumkan, Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Negeri Selangor yang diadakan pada 13 Januari 2017 telah memutuskan penggunaan papan tanda nama jalan dwibahasa selain daripada rumi, penggunaan nama jalan di kawasan kampung tradisi menggunakan tulisan jawi manakala di kampung baru menggunakan tulisan bahasa Cina bersesuaian dengan komuniti penduduk di kawasan tersebut. - Sinar Harian