SHAH ALAM: Isu membabitkan Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) membuktikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad gagal dan tidak mampu mengawal anggota Kabinet beliau. Ketua Umno Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa, isu ini juga menambahkan lagi koleksi menteri PH yang tidak tahu soal keutamaan. Dalam pada itu katanya, meskipun begitu, isu ini sebaliknya memberikan hikmah kepada perpaduan Melayu dan Islam. "Ia menjadikan Umno dan Pas parti yang semakin relevan. Keduanya semakin mesra," katanya dalam satu kenyataan. Dalam pada itu Mohd Puad mempersoalkan di mana kewajaran negara untuk meratifikasi konvensyen berkenaan. "Ya, apa keperluannya mengutamakan isu ICERD dalam konteks Malaysia?" katanya. Jelasnya, jika ICERD diratifikasi ia akan membuka pintu beberapa perundangan seperti Perkara 153 akan dipersoalkan dan dihakis secara berperingkat. "Apatah lagi Fasal 1 definisi diskriminasi kaum (ICERD) mentakrifkan, menolong, membantu dan mengutamakan sesuatu kaum tetap dianggap sebagai 'diskriminasi kaum'," katanya.-Sinar Harian.