suria

Kerajaan N. Sembilan batal hasrat ambil alih Hospital Mawar

Hospital Mawar

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan membatalkan cadangan untuk mengambil alih Hospital Mawar Seremban (HMS) menerusi Menteri Besar Diperbadankan (MBI) setelah pihak HMS sendiri memberikan bebarapa syarat tambahan yang tidak mampu ditunaikan oleh MBI.

Menteri Besar Aminuddin Harun berkata memang pada mulanya kerajaan negeri, menerusi MBI, bercadang untuk mengambil alih HMS dengan tujuan untuk menyelamatkan hospital tersebut.

Tetapi, katanya persetujuan awal itu telah diubah oleh pihak HMS sendiri dengan memberikan beberapa syarat tambahan yang MBI sendiri tidak mampu untuk menunaikannya.

"Jadi, kita hantar surat kepada HMS mengenai perkara itu kerana kita tidak mampu untuk mengambil alih hospital tersebut, jadi perkara tersebut telah berpanjangan.

"Pada peringkat awal itu kita telah diarahkan untuk mengambil alih dan kita setuju. Tetapi apabila ada syarat tambahan, kita tidak mampu dan kita serah balik kepada pihak HMS. 

Lepas itu kita tidak lihat perkembangan tersebut dan akhirnya telah ditarik balik syarat hospital tersebut oleh Kementerian Kesihatan dan kita tidak boleh berbuat apa-apa," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Kementerian Kesihatan yang telah memberikan hospital itu tempoh dua bulan untuk menyusun isu pelesenan selepas peletakan jawatan para pakarnya.

Sebelum itu, kerajaan negeri melalui MBI bercadang untuk mengambil alih pengurusan hospital itu dan Pusat Hemodialisis Mawar (PHM) sebagai sebuah hospital rakyat milik penuh kerajaan negeri.

Aminuddin berkata pembatalan untuk mengambil alih HMS itu dibuat setelah mengkaji pelbagai sudut dan implikasinya kepada kerajaan negeri. - Bernama

Hospital Mawar

Artikel Lain