suria

Firefly gantung penerbangan ke Singapura bermula 1 Disember

SINGAPURA: Syarikat penerbangan Firefly akan menggantung semua penerbangan ke Singapura berkuat kuasa dari 1 Disember, hari ia dijadualkan untuk berpindah operasi dari Lapangan Terbang Changi ke Lapangan Terbang Seletar.

Menerusi notis di laman webnya, menurut syarikat penerbangan itu, ia menyambung operasinya sebaik pihak berkuasa berkaitan menyelesaikan isu pengawalseliaan berhubung pemindahannya ke Seletar.

Firefly, anak syarikat Malaysia Airlines, tidak mengulas lanjut mengenai keputusannya menggantung penerbangan berkenaan, tetapi The Straits Times difahamkan ia dalam rundingan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

"Firefly mengesahkan ia menggantung penerbangan ke Singapura, berkuat kuasa 1 Disember 2018 sehingga pihak berkuasa menyelesaikan perkara berkaitan dengan rancangan pihak berkuasa Singapura untuk memindahkan operasi pesawat turbo-prop dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi ke Seletar," menurut syarikat penerbangan dalam notis tersebut.

Rancangan itu untuk Fireflt berpindah ke terminal penumpang yang dibuka pada Isnin lalu, bagi penerbangan komersial berjadual dan bisnes penerbangan membabitkan penumpang yang menggunakan penerbangan bisnes carter dan jet peribadi.

Changi Airport Group, yang mengumumkan pembukaan itu berkata, semua operasi pesawat turbo-prop di Changi akan berpindah ke terminal Lapangan Terbang Seletar dari 1 Disember.

Pengendali lapangan terbang itu memberitahu, Lapangan Terbang Seletar turut mengendalikan penerbangan turbo-prop berjadual di Singapura bermula dari hari berkenaan.

Pada masa ini, hanya Firefly yang mengendalikan penerbangan turbo-prop ke Changi. Ia menawarkan 20 penerbangan harian - ke dan dari Subang, Ipoh dan Kuantan.

Menerusi notis tersebut, tambah syarikat penerbangan itu: "Firefly tidak diberikan tempoh yang tetap oleh pihak berkuasa di atas penangguhan itu. Firefly akan menyambung semula operasi penerbangan ke Singapura selepas mendapat kelulusan yang muktamad daripada pihak berkuasa.

"Pada masa ini, urusan dilakukan untuk semua penumpang yang terjejas. Kami memohon maaf kepada para penumpang di atas kesulitan," menurut kenyataan itu. – The Straits Times/Asia News Network

Firefly, Changi, Seletar

Artikel Lain