suria

mStar kini dikenali sebagai portal gaya hidup ‘Urban, Versatil’

PETALING JAYA: Seiring dengan perkembangan media digital ketika ini, portal mStar Online tidak ketinggalan membuat perubahan dengan memperkenalkan kandungan baharu bermula Khamis.

Terdapat enam segmen yang bakal memberi dimensi baharu dan berlainan buat pembaca setia portal ini seiring dengan tagline 'urban dan versatil' yang diperkenalkan.

Segmen yang dimaksudkan berada bawah ruangan Xpose iaitu Mode, Mistik, I-suke, Figura, Famili dan Ad-din.

Menerusi segmen Mode, pembaca akan disajikan dengan bacaan mengenai aspek kecantikan, tip penggayaan, fesyen dan juga aksesori.

Bagi yang menggemari cerita misteri pula, pelbagai kisah paranormal turut disajikan dalam segmen Mistik.

Malah, kebanyakan cerita ditulis dan diolah semula berdasarkan penceritaan saksi yang mengalami kejadian-kejadian mistik dalam hidup mereka.

Menerusi segmen I-Suke, ia menampilkan pelbagai bahan bacaan antaranya mengenai tip dekorasi, hobi, landskap dan gajet.

Segmen Figura pula menampilkan kisah-kisah individu yang berjaya dalam cabang kepakaran berbeza seperti usahawan, personaliti hiburan, pereka fesyen dan figura-figura politik serta VIP di negara ini.

Kali terakhir mStar bertukar wajah pada 17 April 2014 namun pada ketika itu ia lebih kepada konsep berita dan hiburan.

Turut diketengahkan ialah segmen Famili yang memberi fokus kepada isu sosial, kekeluargaan, kesihatan, temubual pakar dan human interest mengenai rumah tangga.

Ad-din pula ialah segmen agama yang pastinya menyajikan pelbagai bacaan ilmiah dan bermanfaat buat pembaca seperti pedoman hidup, tazkirah dan pelbagai isu berkaitan Islam.

Selain enam segmen baharu itu, mStar Online masih mengekalkan kandungan lama seperti berita semasa dalam dan luar negara, seleksi berita hiburan yang dikenali sebagai Spotlight, sukan, travel serta laporan berbentuk video.

Dalam pada itu Pengarang Hiburan mStar, Niezam Abdullah berkata, kali terkahir portal ini membuat perubahan wajah baharu pada tahun 2014 yang lebih menekankan kepada kandungan berita dan hiburan.

Namun sejajar dengan tuntutan pembaca mStar yang lebih kepada kumpulan berusia antara 18 sehingga awal 40-an, perubahan terpaksa dillakukan yang memberi fokus kepada kandungan berbentuk gaya hidup (lifestyle), hiburan dan berita-berita tular.

"Perubahan ini ialah mengikut kehendak pembaca selain trend ketika ini yang menginginkan sesuatu bahan bacaan bercorak santai dan berinformatif. Perubahan ini juga membolehkan mStar tidak perlu bersaing dengan penyedia kandungan berita arus perdana lain," ujarnya.

Tambahnya, sesuai dengan golongan sasar, tagline 'urban versatil' dipilih sebagai memenuhi tuntutan generasi moden tanpa meminggirkan kelompok pembaca lain.

Dalam pada itu ujarnya, YouTube mStar juga mencatatakan lebih 258,000 pelanggan manakala terdapat video yang dihasilkan berjaya mencecah lebih 1 juta kali tontonan selain turut menjadi trending di laman itu.

Selain segmen-segmen hiburan, segmen video juga memaparkan bahan-bahan berbentuk laporan khas, sukan, bual bicara, gaya hidup dan masakan.

Ketika ini mStar menunjukkan purata 10 juta pelayar sebulan dan jumlah ini dijangka meningkat dengan pengenalan kandungan baharu.

MStar merupakan portal berita bahasa Melayu bawah Star Media Group yang ditubuhkan pada Ogos 2005.

mStar

Artikel Lain