suria

Pemuda tawar tiket 'free' Piala AFF - "Saya nak gembirakan hati orang yang saya tak kenal"

Muhammad Sofwan bersama dua tiket yang mahu diberikan kepada pemenang bertuah pada Jumaat.

BUNTU? Kecewa tak dapat tiket perlawanan terakhir kumpulan A Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia menentang Myanmar di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini.

Usah bimbang kerana ada individu yang bermurah hati untuk menceriakan semula hati anda!

Terima kasih kepada empunya badan, Muhammad Sofwan Zulkepli yang menawarkan dua tiket secara percuma kepada peminat bola sepak tanah air.

Menurut jejaka berusia 23 tahun itu, dia terpaksa melupakan hasrat untuk menyaksikan perlawanan penting tersebut kerana terikat dengan tugas di luar negara.

"Saya memang dah rancang dengan kawan-kawan dan group bola kami, GBS (Group Sembang Bola) untuk hadir memberikan sokongan kepada Harimau Malaya.

"Malangnya saya tak dapat ikut serta kerana saya perlu membuat persediaan untuk outstation ke Jerman pada Ahad," katanya kepada mStar Online.

Justeru, jutera di sebuah syarikat minyak dan gas itu, berniat untuk menghadiahkan tiket tersebut kerana menyedari ramai penyokong kecewa tak dapat tiket aksi penting berkenaan.

Posting Muhammad Sofwan menjadi tular sejak Isnin lalu. 

"Pada mulanya ada satu tiket, tapi saya faham mesti ada yang nak pergi dengan pasangan atau kawan-kawan.

"Jadi saya beli lagi satu tiket. Saya hanya mahu menggembirkan hati orang yang saya tak kenal," katanya.

Jelas Muhammad Sofwan, untuk memenangi tiket tersebut netizen hanya perlu retweet posting berkenaan pemberian tiket percuma yang dimuat naik di Twitter pada 19 November lalu.

"Tiada kriteria khas untuk memenangi tiket itu. Orang ramai pun tak perlu follow saya di Twitter.

"Mereka hanya perlu retweet posting asal saya. Pemenang dipilih secara rawak dan nama yang bertuah akan diumumkan pada Jumaat," katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Sofwan berkata dia terpaksa memilih pemenang yang berada di sekitar Kuala Lumpur untuk memudahkan proses mengambil tiket tersebut.

"Saya tak naklah pemenang orang jauh sebab takut dia ada masalah nak ambil tiket nanti. Lagipun saya memang tak akan ada di stadium.

"Oleh itu, saya terpaksa pilih mereka yang duduk di kawasan Kuala Lumpur. Saya pastikan tak susah untuk pemenang ambil tiket itu nanti," katanya.

Pemenang bertuah akan diumumkan pada pagi Jumaat.

Posting tiket percuma pemberian jejaka berasal dari Shah Alam, Selangor itu menjadi tular di Twitter sejak Isnin lalu, malah ada netizen yang sanggup bayar lebih demi mendapatkan tiket perlawanan penting itu.

"Ada yang sanggup bayar lebih untuk tiket tu, tapi saya tak nak jual. Saya hanya mahu berikan secara percuma sahaja tapi dengan syarat hanya perlu retweet posting asal saya.

"Saya pilih medium di Twitter untuk uar-uarkan mengenai perkara ini kerana saya yakin ia lebih mudah dan pantas. Lagipun ramai orang muda pada hari ini mempunyai Twitter masing-masing," katanya.

Sebanyak 30,600 keping tiket dijual sehingga Rabu untuk perlawanan hidup mati Harimau Malaya.

Skuad Harimau Malaya perlu mencatatkan kemenangan ke atas Myanmar untuk layak ke peringkat separuh akhir kejohanan dwi-tahunan itu.

Malaysia kini menduduki tangga ketiga di belakang Myanmar dan Vietnam dalam kumpulan A dengan kutipan enam mata, hasil dua kemenangan dan kalah sekali.

tiket, Piala AFF Suzuki

Artikel Lain