suria

Terbantut selera! Spageti aglio olio hampir licin, baru nampak lipas sembunyi dalam kupang

PETALING JAYA: Keterujaan seorang pelanggan berkunjung ke sebuah restoran bersama keluarganya untuk menikmati makan malam bertukar mimpi ngeri apabila sesuatu yang menggelikan ditemui dalam hidangannya.

Beberapa gambar tular di media sosial menunjukkan hidangan spageti di sebuah pinggan hampir licin, yang tinggal hanya beberapa ekor kupang (mussel).

Namun, jika dilihat dengan teliti, terdapat seekor lipas mati ‘bersarang’ di dalam salah satu kupang di atas pinggan tersebut. 

My enemy is finding new ways to get to me (musuh saya mencari cara baharu untuk datang kepada saya,” menurut satu posting mengenai lipas tersebut di Twitter @ashrafariff pada Khamis.

Lipas mati di dalam kupang dalam sajian spageti.

Bagaimanapun, status mengenai lipas di dalam makanan tersebut merujuk kepada pengalaman yang dialami oleh anak saudara perempuannya yang berusia 18 tahun.

Gadis malang itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ameera berkata, kejadian nyaris termakan lipas itu berlaku pada malam Selasa lalu, di sebuah restoran terkenal yang menyajikan makanan laut di sebuah pusat beli-belah di Shah Alam.

Malah dia turut berkongsi pengalaman menjijikkan itu di akaun Twitternya yang secara sinis menyebut: “Saya ada seekor lipas mati di dalam makanan saya. Saya tak akan mati kan... maksud saya memang ada orang yang makan lipas.”

“Ketika itu, saya bersama keluarga sedang makan malam di restoran terkenal tersebut. Saya memilih spageti aglio olio sebab ada kupang, antara makanan laut kegemaran.

“Seperti kebiasaan, saya akan makan spageti atau sajian utama terlebih dahulu, simpan kupang untuk diratah kemudian. Macam save the best for last (simpan yang terbaik untuk yang terakhir),” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Menjijikkan!

Pelajar di sebuah kolej di Melaka itu bagaimanapun terkejut apabila menemui seekor lipas mati berada di dalam salah satu kupang di atas pinggannya yang masih berbaki sedikit spageti.

“Saya sangat terkejut. Nak jerit pun tak boleh, terkedu lidah. Tapi saya beritahu ayah pasal lipas tu. Ayah pun terkejut sebelum ambil gambar-gambar lipas dalam kupang dan panggil pengurus restoran sambil marah-marah.

“Pengurus restoran turut terkejut, meminta maaf dan memberitahu makan malam kami sekeluarga tidak dikenakan bayaran. Tapi, kami semua kecewa lalu meninggalkan makanan yang belum sempat habis dimakan dan beredar,” katanya anak kedua daripada tiga beradik ini.

Luahan Ameera yang nyaris termakan lipas dalam kupang.

Menurut Ameera, dia sememangnya fobia dengan serangga perosak itu dan pernah melalui pengalaman menggelikan beberapa tahun lalu, apabila dihampiri seekor lipas terbang yang keluar dari penyaman udara di ruang tamu rumah.

“Tengok lipas tak bergerak pun saya geli, apatah lagi yang terbang, saya lari masuk bilik. Inikan pula lipas dalam makanan saya, yang elok tersepit di celah kupang tu. 

“Saya trauma nak makan kupang lagi buat masa ni. Rasa geli pun ada. Saya harap pihak pengurusan di restoran berkenaan mengambil tindakan sewajarnya agar perkara ini tidak berulang,” katanya dengan nada kesal.

Perkongsian di Twitter @asharafariff mengenai pengalaman anak saudara perempuannya yang menjumpai lipas dalam makanan.

Sementara itu, pengurus restoran berkenaan ketika dihubungi mStar Online mengesahkan aduan penemuan lipas dalam makanan yang dibuat oleh sebuah keluarga pada malam Selasa lalu.

Pengurus yang hanya mahu dikenali sebagai Nas itu menjelaskan pihaknya sentiasa mengamalkan kebersihan dan pembersihan menjadi rutin operasi harian mereka.

“Kami kini menjalankan siasatan mengenai punca yang menyebabkan lipas itu berada di dalam makanan pelanggan tersebut. Kami periksa dari dapur sehingga ke luar sekitar restoran.

“Bagaimanapun, kami memohon maaf di atas kesulitan yang dialami keluarga berkenaan. Kami sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan terutama dari segi kebersihan,” katanya.

lipas, kupang

Artikel Lain