suria

Rakyat Terengganu tidak perlu bayar cukai taksiran, pintu bagi semua premis kediaman

Dr Ahmad Samsuri (dua dari kiri) mengumumkan semua cukai tertunggak juga akan dihapuskan bagi mengurangkan beban rakyat.

KUALA TERENGGANU: Rakyat Terengganu tidak perlu membayar cukai taksiran atau cukai pintu bagi semua premis kediaman di negeri ini tahun hadapan.

Malah, Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata semua cukai tertunggak juga akan dihapuskan bagi mengurangkan beban rakyat.

"Namun, pengecualian ini tidak terpakai untuk premis perniagaan, syarikat perniagaan masih perlu membayar cukai taksiran seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas membentangkan Belanjawan Terengganu 2019 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini pada Ahad.

Beliau berkata setakat ini kerajaan negeri bersetuju untuk melaksanakan pengecualian itu untuk tahun 2019 dan akan melihat kesannya sebelum mengambil keputusan sama ada ia diteruskan atau sebaliknya pada  2020.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri akan menyalurkan peruntukan kepada semua 32 kawasan DUN tanpa mengira sama ada ia dimenangi PAS atau pembangkang, antaranya peruntukan RM1 juta untuk program Hari Keluarga Peringkat DUN dan program perpaduan nasional.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019 negeri, Kerajaan Terengganu juga memperuntukkan RM97.9 juta untuk agenda pembangunan kualiti modal insan yang menjadi antara teras dalam pendidikan negeri. - Bernama

cukai pintu

Artikel Lain