suria

Tambang tren Skypark ditetapkan RM11

PETALING JAYA: Tambang perkhidmatan tren Skypark Link dari stesen KL Sentral ke Terminal Skypark di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang ditetapkan pada kadar RM11 untuk perjalanan sehala, mulai 1 Januari ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata perkhidmatan kendalian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang bermula bulan Mei lepas itu, menawarkan tambang percuma kepada orang ramai sehingga 31 Disember ini.

“Kadar tambang ini mendapat kelulusan Kabinet… kerajaan tidak boleh memberikan perkhidmatan percuma selama-lamanya kerana kerajaan memerlukan pulangan keuntungan semula menerusi bayaran tambang tren ini untuk digunakan dalam penambahbaikan sistem pengangkutan awam dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media di LTSAAS, di sini.

Terdahulu, Loke telah menaiki tren itu dari stesen KL Sentral ke Terminal Skypark di LTSAAS untuk meninjau perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan KTMB kepada orang ramai.

Loke berkata tambang harga perjalanan sehala bagi pengguna kad Touch 'n Go adalah RM10, manakala potongan harga 50 peratus diberikan kepada warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Saya telah meminta pihak KTMB meningkatkan promosi perkhidmatan tren Skypark ini menerusi kempen pengiklanan dan pemasaran serta mengadakan rundingan dengan syarikat penerbangan yang menggunakan LTSAAS untuk menggalakkan penumpang mereka menggunakan perkhidmatan tren ini dengan menawarkan tambang harga yang berpatutan,” katanya.

Loke berkata jumlah kos projek pembinaan landasan keretapi Skypark itu berjumlah kira-kira RM500 juta dan buat masa ini kerajaan tidak bercadang untuk menyambungkan landasan dari Terminal Sykpark di LTSAAS ke Sungai Buloh namun perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat Kabinet kelak.

Dalam pada itu, kementerian bercadang untuk membina sebuah jejantas pejalan kaki dari Terminal Skypark ke LTSAAS dengan kemudahan penghawa dingin, dan laluan pejalan kaki bergerak pada masa hadapan.

“Jejantas pejalan kaki itu akan dibina dan diuruskan oleh syarikat yang mengendalikan LTSAAS,” katanya. - BERNAMA

Skypark

Artikel Sebelum

Artikel Lain