suria

"Adib makin baik, tunjukkan perkembangan positif" - KP Bomba

KUALA LUMPUR: Anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang kritikal akibat dipukul dalam kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights semakin baik dan menunjukkan perkembangan yang positif.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata Muhammad Adib yang kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) telah dipasang sebuah mesin Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO), yang dilihat membantu tahap kesihatannya bertambah pulih, Rabu.

"Kita doakan dia akan bertambah baik dan positif dalam mengharungi keadaan ini dan keluarganya juga mempunyai keyakinan tahap kesihatannya akan bertambah baik.

“Bomba juga telah mengadakan bacaan yasin dan solat hajat bagi mendoakan kesihatan Muhammad Adib,” katanya pada sidang media di IJN di sini, Rabu.

Sementara itu, beliau berkata semangat rakan sepasukan Muhammad Adib yang bersama-sama menjalankan tugas pada hari kejadian dilihat tidak luntur meskipun berhadapan dengan insiden rusuhan itu.

“Secara peribadi saya memuji semangat mereka yang tinggi dalam menjalankan tugas. Sehingga semalam mereka masih meneruskan tugas seperti biasa dan tidak tidur sehingga (Muhammad) Adib dipindahkan ke IJN,” katanya.

Mohammad Hamdan berkata pihaknya turut memberi taklimat kepada pasukan yang bertugas di kawasan rusuhan berkenaan supaya mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketenteraman awam dan arahan pihak polis.

Dalam kejadian awal pagi Selasa, Muhammad Adib dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan kuil tersebut.

Ambulans yang membawa Mohamad Adib meninggalkan Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) pada pukul 11.33 malam, Selasa dengan diiringi pegawai perubatan SJMC, IJN, ibu bapa dan anggota keluarganya serta beberapa pegawai bomba sebelum tiba di IJN sejurus sebelum 12 tengah malam.

Sementara itu, Pakar Perunding Bedah Kardiotorasik IJN dan Ketua Perkhidmatan ECMO Datuk Dr Mohd Nazeri Nordin berkata pihaknya menggunakan mesin sokongan hayat yang dipanggil ECMO kira-kira 1.30 pagi tadi.

Beliau berkata prosedur rawatan itu selesai kira-kira 2.30 pagi dan mesin itu akan memberikan bantuan pernafasan kepada mangsa selepas mengalami kecederaan yang serius di bahagian dada.

“Buat masa ini beliau stabil tetapi masih dalam keadaan kritikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.-- Bernama 


Adib, bomba, IJN

Artikel Berikut

Artikel Lain