suria

Laporan berita dan dokumentari mStar menang Anugerah CIDB 2018

Barisan pemenang dari Kumpulan Media Star yang merangkul lima kemenangan pada majlis Anugerah CIDB 2018.

KUALA LUMPUR: Kumpulan Media Star mengunguli Anugerah Media Pembinaan CIDB 2018 dengan membawa pulang lima hadiah pada malam penghargaan media Kementerian Kerja Raya pada Isnin.

Portal gaya hidup mStar Online merangkul tempat kedua bagi kategori media elektronik dan penyiaran dalam talian (berita & dokumentari) menerusi video Meredah Jejambat Paling Gayat Di Malaysia.

Sementara itu, kumpulan R.AGE turut mengunguli tempat kedua bagi kategori media cetak dan portal berita (berita dan rencana) menerusi laporan bertajuk 'A Night In A Kongsi' serta anugerah saguhati menerusi laporan 'Big City, Small Living'.

Dalam pada itu wartawan The Star, R. Shalini mendapat tempat ketiga bagi laporan bertajuk 'Felling In The Gaps' untuk kategori berita dan rencana manakala jurufoto The Star, Azman Ghani memenangi tempat ketiga bagi kategori fotografi.

Menerusi acara yang berlangsung di Hotel Sunway Putra itu, video dokumentari berkaitan 'Rawang' Bypass oleh mStar Online membawa pulang trofi, sijil penyertaan serta wang tunai berjumlah RM3,000.

Penerbit video, Ariffuddin Ishak sewaktu ditemui pada majlis berkenaan mengakui terharu apabila penat lelah mereka dalam penghasilan dokumentari berkenaan akhirnya terbalas.

“Kemenangan ini membuktikan usaha secara berkumpulan bagi mengumpul dan menggarapkan semua maklumat berhuhung pembinaan projek berteknologi tinggi itu membuahkan hasil.

“Sebagai portal gaya hidup berkonsepkan Urban dan Versatil kami akan terus memberikan laporan terbaik untuk pembaca,” katanya.

Trofi dan hadiah disampaikan oleh Menteri Kerja Raya, Baru Bian.Video dokumentari berdurasi 27 minit itu dihasilkan sekitar November tahun lalu.

Ia berkisar mengenai jalan pintas Rawang atau Rawang Bypass yang mula dibuka pada 28 November 2017.

Projek yang menelan belanja RM600 juta itu menjadi bualan ramai khususnya berkaitan ketinggian struktur binaannya.Laluan sepanjang 21.5 kilometer dengan 2.7 kilomerer dikategorikan sebagai jejambat.

Dalam pada itu, acara berkenaan menampilkan 218 penyertaan termasuklah 15 dari media eletronik.

Anugerah CIDB

Artikel Lain