suria

Jual agar-agar dicemari bakteria, peniaga bazar didenda mahkamah

Gambar Hiasan

KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga bazar Ramadan Wakaf Tengah, Kuala Nerus dikenakan denda RM900 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Ahad kerana menjual kuih agar-agar merah dan onde-onde dicemari bakteria, pada bulan puasa, Jun lalu.

Zunaidah Sulong, 43, dari Tepoh, Kuala Nerus, turut berdepan hukuman seminggu penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Majistret Noradila Ab Latif membuat keputusan itu selepas Zunaidah mengaku salah mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 6 (1)Akta Makanan 1983.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku pada 4 Jun lalu, kira-kira jam 5.30 petang, selepas pegawai berkuasa dari Pejabat Kesihatan Kuala Nerus membuat sampel ke atas beberapa sampel makanan di bazar tersebut dan menghantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kuala Nerus untuk dianalisis.

Keputusan yang diperolehi mendapati sampel kuih agar-agar merah dan onde-onde mengandungi Coagulase iaitu sejenis mikroorganisma patogenik.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Pejabat Kesihatan Kuala Nerus, Nooreen Azniewati Amaran.- Sinar Harian.

Zunaidah Sulong

Artikel Lain