suria

"Dia paling dekat dengan tong gas" - Isteri dedah dua kali masuk kawasan runtuhan cari suami

-foto THESTAR/Zulazhar Sheblee

KUCHING: "Sebelum kejadian saya dapat lihat suami di bahagian dapur restoran tersebut, namun apabila letupan berlaku dia hilang dari pandangan akibat ditimpa runtuhan," kata seorang saksi kejadian letupan gas di CityOne Megamall petang Selasa.

Demikian menurut Aimy Mohamad, 19, yang juga isteri kepada seorang pekerja restoran yang terlibat dalam insiden letupan dan runtuhan di premis tersebut di Jalan Song, yang meragut nyawa tiga lelaki.

Sejumlah 44 orang turut cedera.

Aimy berkata akibat kejadian itu dia yang bekerja di sebuah kedai berhampiran turut ditimpa kayu-kayu kecil kesan letupan yang berlaku namun tetap menguatkan hati untuk masuk mencari suaminya Uzair Abu Bakar, 19, di dalam restoran tersebut.

"Kejadian berlaku sekelip mata, saya dengar bunyi letupan sekali dan sangat nyaring. Akibat letupan itu berlaku runtuhan di dalam restoran tersebut, suami saya pun tidak kelihatan lagi.

"Saya keluar tinggalkan tempat kerja saya, lari masuk ke dalam restoran yang meletup cuba cari suami tetapi dia gagal ditemui. Saya keluar ke bahagian luar restoran pula namun masih gagal untuk jumpa dan ambil keputusan masuk ke dalam restoran buat kali kedua," katanya ketika ditemui di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, Rabu.

Aimy berkata suaminya yang baru dua hari bekerja sebagai pembantu dapur di restoran itu akhirnya ditemukan orang ramai yang turut sama membantu mencari.

"Suami saya melecur dari atas kepala hingga ke paras pinggang kerana ketika kejadian dia berada paling hampir dengan tong gas. Dia dimasukkan ke Unit Rawatan Kebakaran HUS untuk rawatan lanjut.

"Malam tadi saya dapat jumpa dia (suami) dah sedar dan keadaan semakin stabil," kata ibu kepada dua cahaya mata perempuan berusia dua tahun dan tiga bulan itu.
-Bernama

gas, letupan, CityOne Megamall, Kuching

Artikel Lain