suria

Salahuddin Ayub terima bangkai lembu, ugutan bunuh

Salahuddin Ayub.

KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub menerima bangkai seekor lembu bersama nota ugutan bunuh.

Timbalannya, Sim Tze Tzin mengesahkan perkara itu di Parlimen pada Khamis.

Beliau berkata kementerian itu sedang menunggu pengumuman Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkaitan hasil siasatan kes tersebut.

Sim berkata laporan polis telah dibuat sejurus selepas bangkai seekor lembu dan nota ugutan bunuh itu diterima.

"Kami Ahli Parlimen Pakatan Harapan terkejut dengan ancaman bunuh itu.

"Datuk Salahuddin telah memaklumkan kepada saya bahawa dia akan terus menjalankan tugasnya untuk rakyat dan tidak tergugat dengan insiden itu," katanya.

Jelas Sim lagi, kementeriannya turut mengutuk perbuatan tidak bertanggungjawab itu dan tidak akan melayan individu atau kumpulan yang cuba mengugut pegawai kerajaan ataupun Menteri Kabinet.

Sementara itu, Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar berkata insiden itu amat dikesali kerana Ahli Parlimen Pakatan Harapan sentiasa bersikap terbuka.

"Apabila ada masalah, kami sentiasa sedia bertemu dan berbincang sesuatu perkara.

"Kami menyerahkan perkara ini kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya. - The Star

Salahuddin Ayub, bunuh

Artikel Sebelum

Tun M bimbang rasuah jadi budaya

Artikel Lain