SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kesal dan dukacita dengan kenyataan tersebar di media sosial serta Whatsapp yang mengatakan baginda akan menyertai perhimpunan 'kesyukuran' kerajaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Kuala Lumpur, Sabtu. Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Sharafuddin menitahkan supaya mana-mana pihak tidak melibatkan nama baginda dengan mana-mana perhimpunan anjuran parti politik atau badan bukan kerajaan (NGO). Beliau berkata demikian dalam kenyataan hari ini ketika merujuk kepada kenyataan berbunyi: "Sultan Johor, Pemangku Sultan Pahang, Sultan Selangor turun Himpunan ICERD 8-12-2018 bersama anak Melayu Bumiputera", yang tular di laman Twitter seorang pengguna. “Kenyataan seperti ini boleh mengelirukan masyarakat. Sultan Selangor sebagai sultan yang memerintah negeri Selangor tidak seharusnya dilibatkan dengan sebarang perhimpunan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak," katanya. Menurut Mohamad Munir, Sultan Sharafuddin turut mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan berita-berita palsu seumpama ini. -- Bernama