SIBU: Gabungan Persatuan Peniaga Kopi dan Restoran Sarawak mahu kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghentikan langkah untuk melaksanakan larangan merokok di semua premis makanan terbuka. Mereka bimbang sekiranya larangan itu yang berkuat kuasa mulai 1 Jan 2019 akan memberi kesan serius terhadap perniagaan mereka. "Memandangkan perdana menteri berkata bahawa tidak salah untuk membuat 'U-turn' kerana tiada siapa yang sempurna, kami berharap beliau akan melakukannya untuk kami dengan membatalkan larangan merokok di premis makanan," kata naib presiden ketiga persatuan itu, Hii Hung Yii pada sidang media yang berlangsung pada Ahad. Hung Yii merujuk kepada reaksi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap beberapa laporan yang salah satunya tentang penggantungan skim bayaran ansuran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Jan. Hung Yii berkata, rakyat telah memilih PH pada PRU14 dengan harapan bahawa negara akan menjadi lebih baik dan bukannya lebih buruk. "Larangan merokok ini sukar untuk kami. Kami sudah menghadapi masa yang sukar dan dengan dasar baharu ini, ia akan menjadikannya lebih teruk untuk kami," katanya. Hung Yii mahu Menteri Kesihatan yang memulakan langkah itu untuk "duduk di kedai kopi bagi memahami betapa sukarnya untuk membuat perniagaan sekarang". "Jangan hanya duduk di persekitaran yang selesa di pejabat anda dan mencadangkan itu dan ini. "Datanglah kepada kami dan lihat bagaimana kami bergelut dalam menjalankan perniagaan. Kami perlu mengendalikan restoran dari pukul 4 pagi hingga 3 petang setiap hari," katanya. - The Star