suria

Kerajaan batal projek Skin bernilai RM3.5 bilion

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Imigresen di Jabatan Imigresen hari ini. Turut hadir, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali. Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Sistem Kawalan Imigresen Nasional (Skin) dibawah Jabatan Imigresen bernilai RM3.5 bilion dibatalkan, demikian kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada pembangunan sistem baharu yang lebih komprehensif, berkesan dan mesra pengguna.

"Kami juga mahu membangunkan sistem yang dapat menjimatkan dana kerajaan," katanya ketika mengumumkannya pada sambutan Hari Imigresen pada Isnin.

Muhyiddin berkata, projek yang dapat memperbaiki sistem jabatan itu akan diberi tumpuan utama.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim memaklumkan pihaknya sedang menyemak semula pelaksanaan projek yang mempunyai implikasi kewangan yang besar.

Katanya, semakan itu dijalankan selaras dengan penambahbaikan tadbir urus dan usaha kerajaan merasionalisasikan perbelanjaan.

Skin, yang dijangka dilaksanakan pada 2021 adalah sistem yang dibangunkan bagi memperkasa sistem kawalan imigresen negara, sekali gus menjaga keselamatan sempadan negara bagi memenuhi keperluan operasi imigresen masa kini dan hadapan.

Ia termasuk meningkatkan koordinasi, menambah baik proses imigresen bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan menangani kegiatan jenayah rentas sempadan.

Sistem berkenaan akan dihubungkan ke semua pintu masuk negara, termasuk lapangan terbang dan sempadan serta pejabat Atase di luar negara.



Skin, Muhyiddin, Imigresen

Artikel Lain