suria

Pindaan tiga akta dilulus, mahasiswa kini bebas berpolitik di kampus

Dr Maszlee Malik

KUALA LUMPUR: Selepas hampir lima dekad, mahasiswa kini selangkah lagi untuk mencapai kebebasan melibatkan diri dalam politik di kampus masing-masing selepas pindaan terhadap tiga akta berkaitan, termasuk Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971(Auku), diluluskan Dewan Rakyat, Isnin.

Selain AUKU dua lagi ialah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976.

Kesemua akta bertujuan menamatkan larangan ke atas penuntut institusi pengajian tinggi untuk terlibat dalam aktiviti parti politik di dalam kampus itu diluluskan sebulat suara selepas bacaan kali ketiga Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik bagi ketiga-tiga akta.

Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Auku (Pindaan) 2018 bagi meminda akta Auku, Maszlee menarik perhatian bahawa pindaan ini adalah langkah awal memansuhkan Auku secara total yang dijangka dapat direalisasikan pada tahun 2020.

“Kalau kita lihat pindaan pada malam ini walaupun hanya satu seksyen tetapi ia amat signifikan kerana ia akan hapuskan budaya ‘siege mentality’ dan ‘culture of fear’ yang selama ini membelenggu mahasiswa.

“Pindaan pada malam ini akan beri satu isyarat jelas kepada mahasiswa bahawa mereka telah dilepaskan daripada rantai yang membelenggu mereka, kini kebebasan jadi milik mereka,” katanya menegaskan bahawa kebebasan ini bagaimanapun datang dengan kebertanggunjawapan dan akauntabiliti.

Ia tegasnya, bukan sesuatu berbentuk anarkisme, sehingga mereka bebas daripada undang-undang.

“Di universiti sendiri mereka ada undang-undang dan peraturan, begitu juga mahasiswa terikat undang-undang di luar universiti sendiri,” katanya.

Mengenai kerisauan beberapa Ahli Parlimen bahawa kebebasan berpolitik ini akan menjejaskan pencapaian akademik mahasiswa, Maszlee katanya beliau akan memastikan ekosistem yang holistik dapat diwujudkan di universiti supaya ia menjadi medan intelektual.

Beliau menarik perhatian dengan berkata dengan kelulusan malam ini para mahasiswa bebas menjalankan aktiviti parti politik, antara lain menjemput wakil politik ke dalam kampus serta menubuhkan kelab parti politik, namun ia tertakluk kebenaran naib canselor masing-masing.

“Bagaimanapun saya yakin bagi naib canselor dan pentadbir universiti berdasarkan semangat Malaysia baharu…mereka akan pertimbangkannya dan tidak akan halang,” katanya.

Dengan kelulusan pindaan akta ini juga menurutnya kesemua pendakwaan yang masih berjalan di mahkamah atau kes tatatertib di universiti yang disabitkan dengan akta berkenaan akan dihentikan sebaik ia dikuatkuasakan.

Tambahnya, cadangan pindaan terhadap Akta Auku, selain mekanisme untuk menghapuskan akta berkenaan secara total diperhalusi satu jawatankuasa teknikal terdiri daripada pakar akademik dan perundangan yang dilantik kementerian. - Bernama

Mahasiswa, AUKU, Dr Maszlee Malik

Artikel Lain