suria

Lelaki Syria maut tercampak, dihempap kereta sendiri

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Syria berusia 24 tahun terbunuh selepas tercampak keluar dari kereta yang dipandunya, sebelum dihempap oleh kenderaan yang sama, dalam kemalangan di Lebuhraya Persekutuan, awal pagi Khamis.

Seorang penumpang di dalam kereta berkenaan, yang juga warga Syria terselamat, hanya mengalami cedera ringan.

Difahamkan, pemandu tersebut, Abdulsalam Mohamad Turkmani, dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Petaling Jaya semasa hilang kawalan sehingga merempuh pembahagi jalan pada kira-kira pukul 1.05 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, ia kemudian merempuh tiang jejambat, sehingga mangsa tercampak keluar dari kenderaannya.

"Kereta tersebut terbalik dan menghempap pemandu. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Zulkefly berkata, seorang lagi mangsa, Muhamad Al-Saraj, mengalami cedera ringan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat," katanya.

Tambah Zulkefly, polis menolak punca luaran berikutan keadaan jalan dan cuaca baik ketika kejadian.

"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian disebabkan kecuaian atau memandu secara merbahaya," katanya. - The Star


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain