suria

Memori berharga bersama Zam, mentor dunia kewartawanan

PENGARANG Eksekutif The Star mengingati seorang ketua pengarang lamanya di Utusan Melayu yang dianggapnya mentor dan juga bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin.

Mengimbau zaman awal sebelum menceburi bidang kewartawanan, Rozaid Abdul Rahman mengetengahkan dirinya sebagai seorang budak sekolah yang bercita-cita untuk menjadi penulis dan wartawan hebat.

Pada Februari 1984, saya menerima surat dari Utusan Melayu untuk menghadiri temu duga di Kuala Lumpur.

Saya meninggalkan kampung halaman, Pulau Pinang. Pada waktu itu, saya sedang menunggu keputusan HSC (setaraf STPM). Apa yang saya beritahu pada ibu-bapa: Ada panggilan temu duga dari UM.

Sebenarnya ia satu penipuan. Benar dari UM, tetatpi ia bukanlah Universiti Malaya tetapi Utusan Melayu.

Di Jalan Lima off Jalan Chan Sow Lin (ibu pejabat Utusan yang lama), saya memasuki bilik yang menempatkan beberapa lelaki yang kelihatan serius. Mereka semua wartawan yang bercita-cita tinggi seperti saya.

Semua mereka membawa fail tebal berisi resume dan kertas-kertas, tidak seperti saya.

Saya kata pada diri: "Setakat ini sahaja lah, saya tiada apa-apa untuk ditunjuk melainkan kertas sekolah yang disunting oleh saya."

Terdapat empat penemu duga. Saya ingat dua daripada mereka - yang pertama ialah Zainuddin Maidin (Tan Sri) - ketua pengarang kumpulan - dan seorang lagi FD Mansor (kini Tan Sri dan pengerusi Glomac Sdn Bhd), yang ketika itu bertugas sebagai pengurus kumpulan sumber manusia.

"Tunjukkan pada saya apa yang kamu ada," ujar Zainuddin dalam nada serius. Dia dikenali sebagai Zam dalam dunia media.

"Maaf Tuan, saya tak ada banyak untuk ditunjukkan," ujar saya.

"Jadi beritahu apa yang kamu mampu lakukan."

"Tak banyak pun untuk diceritakan, Tuan."

"Jadi kenapa kamu di sini?" soalnya.

"Saya mahu jadi seperti Tuan. Seorang wartawan."

"Dari resume, saya dapat lihat yang kamu baru tamat sekolah. Kamu dapat Gred Satu dalam MCE (setaraf SPM). Masih banyak yang kamu perlu belajar. Kenapa tak tunggu habis universiti? Kalau kamu masuk sekarang, kamu perlu dilatih sebelum saya hantar ke lapangan," ujar Zam.

"Itu Tuan kena tunjukkan pada saya. Itu tugas Tuan, saya akan buat tugasan saya."

Zam lihat pada FD Mansor. Saya pula lihat pada dua individu itu.

"Kamu kenal Chin Peng?" soalnya.

"Ya Tuan, Saya kenal, dia merupakan ketua Parti Komunis Malaya (PKM). Saya baca mengenainya dalam buku teks Sejarah sekolah."

"Bagus. Saya pertama kali membuat liputan mengenainya pada 1956 sewaktu pertemuan Baling dengan Tunku (Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj). Kalau saya hantar kamu menemu bual Chin Peng, apa soalan pertama kamu?"

"Pertama, saya akan minta tandatangannya. Dia seorang yang terkenal dalam kelas tersendiri. Kemudian saya akan tanya, kenapa dia menolak peluang untuk memberi penjelasan apabila diberi peluang berbuat demikian."

"Saya suka budak ini...ambil dia bekerja," ujar Zam kepada Mansor.

"Itu sahaja ke? Saya diterima?" soalku.

"Ya kamu diterima."

"Tapi saya nak tahu berapa gaji saya.

"Berani kamu tanya gaji kamu ya?"

"Maaf Tuan. Saya perlu tanya sebab saya datang temu duga ni sekali sahaja. Saya tak boleh datang lagi esok untuk tanya mengenai gaji. Tuan pun mesti tak mahu jumpa saya lagi esok. Jadi saya nak tahu berapa Utusan nak bayar saya."

"Mansor, beri dia gaji asas RM515 sebulan dengan elaun pengangkutan RM200. Cukup tak untuk kamu?"

"Macam bagus, Tuan."

Pada satu hari selepas lima tahun menjadi warga Utusan Melayu, Zam bersama Ketua Pengarang Berita, Khalid Mohd (selepas itu dilantik sebagai Ketua Pengarang Kumpulan) sambil berkata: "Khalid, bawa budak ni ikut kita ke Haadyai."

Zam merujuk kepada Perjanjian Haadyai antara Malaysia-PKM-Thailand pada 1989.

"Ketika ditemu duga lima tahun lalu, kamu kata perkara pertama yang akan kamu lakukan jika bertemu Chin Peng adalah untuk mendapatkan tandatangannya. Sekarang saya cabar kamu untuk melakukannya."

Sehari sebelum majlis berlangsung, Zam, Khalid dan saya ada di kafe hotel penginapan di Haadyai. Tiba-tiba Zam terlihat Chin Peng dan pengikut setianya, Rashid Maidin melintasi kawasan itu.

"Itu dia," kata Zam.

"Siapa?" tanya saya.

"Chin Peng dengan Rashid," katanya

"Kamu kenal mereka ke? tanya saya.

"Tentu sekali, saya kan buat liputan di Baling dulu. Jadi inilah masanya, pergi jumpa dia," cabar Zam.

Saya pun terus meninggalkan Zam dan Khalid dan menemui Chin Peng. Semuanya saat bersejarah yang kekal dalam memori.

"Chin Peng mengaku dia masih lagi mengekalkan fahaman Merxist-Leninist walaupun selepas menandatangani perjanjian itu," saya sampaikan perkara itu kepada Zam.

"Ini berita muka depan kita esok," katanya sambil tersenyum.

Namun itu bukan satu-satunya ilmu yang ditimba dengan Zam. Di adalah guru, jenis old school. Suatu hari, dia hantar saya  buat liputan mengenai kisah kejayaan pusat serenti Batu Pahat. Saya pulang ke pejabat dan tidak sedar dia masih di sana kerana ia sudah agak lewat.

Saya baru sahaja mahu pulang sebelum dia menepuk bahu dari belakang.

"Mana mesin taip kamu?" tanya Zam

"Di dalam almari," jawab sapa ringkas.

"Kenapa simpan dalam almari sedangkan kamu perlu siapkan berita sekarang?"

"Tapi Cik Zam, dah lewat ni. Kita dah melepasi deadline untuk berita esok."

"Keluarkan mesin taip dan buat berita kamu sekarang."

"Maksudnya, sekarang? Pada jam ini?

"Susah sangat ke nak faham arahan ringkas saya? Buat sekarang!"

"Tapi kita dah tutup edisi terakhir."

"Hello! Kalau kamu balik tanpa siapkan berita dan sesuatu berlaku... kamu mati malam ni, siapa akan baca berita kamu? Kamu akan dikebumi dalam liang lahad enam kaki ke bawah sedangkan kamu sahaja wartawan yang buat liputan di sana."

Saya diam tanpa kata-kata dan mula mengarang tiga berita dalam beberapa jam.

Apa yang saya belajar dari dia adalah berita tak boleh ditangguh-tangguh. Ia harus disiap segera. Itu sekitar 1980-an.

Pengalaman dengan Zam yang paling diingati sewaktu kami diarah ke Istana oleh Yang di-Pertuan Agong kelapan, Almarhum Sultan Iskandar Ismail, menjelang Krismas 1985 - setahun selepas menyertai Utusan.

Saya tulis mengenai badak Sumatra milik Perhilitan yang akan dihantar ke Bangkok sebagai hadiah kepada Raja Thai. Saya tulis badak itu bukan sahaja "khazanah negara" malah ia juga antara yang jarang ditemui di dunia.

Pada mulanya saya sudah rasa tak sedap hati. Saya tanya senior, Chamil Wariya (kini Datuk Dr Chamil, CEO Institut Akhbar Malaysia) dan dia kata, "kenapa tidak."

Tetapi saya berbisik bahawa ia boleh menjadi sesuatu yang dikaitkan dengan Agong. Dan akhirnya badak itu ditemui di Felda Endau, Johor. Dia berkata lagi; "Adakah kamu takut nak memberitahu perkara sebenar?"

Esoknya ia muncul di halaman hadapan Utusan Malaysia tetapi tanpa menyebut penglibatan pihak Istana.

Selepas itu kami mendapat panggilan dari Istana.

Lembaga yang dipengerusikan Ghafar Baba membuat keputusan agar kami mengadap seperti yang diarahkan Istana Bukit Serene di Johor Baru.

Lebih dua jam di istana. Kami dimarahi Agong. Zam sebagai orang berpengalaman cuba menenangkan Tuanku.

Setiap kali dia mempertahankan saya, Agong berkata: "Kamu mamak dari Kedah tolong diam. Biar aku sekolahkan budak Pulau Pinang ini. Dia fikir dia bijak dengan memberitahu seluruh dunia yang badak ini spesis hampir pupus.

"Saya kata: "Tidak Tuanku. Ampunkan patek. Patek budak dari Penang tidak tahu apa-apa Tuanku."

Agong menjadi sedikit tenang dan mula baik dengan kami.

Bila diimbas kembali, Zam dan saya akan ketawa, setiap kali kami bertemu untuk teh tarik di Malayan Mansion, Jalan Masjid India.

Maafkan saya Cik Zam kerana tidak dapat bersama dalam perjalanan terakhir di bumi ini kerana saya berada jauh di tempat lain.

Namun segala nasihat dan tunjuk ajar dan sifat dahaga terhadap berita akan sentiasa berada dalam diri, dalam kenangan dan dalam hati.

Adios Cik Zam dan semoga Allah merahmati kamu.

Tan Sri Zainuddin Maidin

Artikel Lain