suria

'17476' nombor akan dikenang selamanya - Rakan Adib

Mohd Khairul menunjukkan pakaian rintangan api milik yang digunakan ketika operasi terakhir malam kejadian. foto Vincent Tan

SUBANG JAYA: Nombor ‘17476' pasti akan menjadi kenangan kepada rakan-rakan Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia, malam Isnin.

Nombor berkenaan merupakan nombor badan (nombor anggota) Muhammad Adib yang mesra dengan panggilan 'Mat Dib' dalam kalangan rakan setugas sepanjang berkhidmat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Pemergian Muhammad Adib, 24, setelah 21 hari bertarung nyawa di Institut Jantung Negara (IJN) akibat cedera parah dipercayai diserang sekumpulan perusuh dalam insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor bulan lepas, diratapi rakyat Malaysia khususnya anggota keluarga dan rakan-rakan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya.

Rakan setugasnya, Mohd Khairul Hafiz Mansor, 25, berkata Allahyarham terkenal dengan sikapnya yang sentiasa murah dengan senyuman dan tidak pernah berkira ketika menjalankan tugas.

"Allahyarham jenis pendiam, tetapi bila dia (Muhammad Adib) sudah kenal, pasti semua orang senang dengan perangai dia… kami dah anggap dia macam adik kami sendiri.

"Sehingga sekarang senyuman manis dia ketika berada di balai ini sentiasa dalam ingatan semua rakan," katanya ketika ditemui Bernama di BPP Subang Jaya, Selasa.

Lebih memilukan, ketika tinjauan Bernama di BPP itu kelihatan pakaian rintangan api milik Muhammad Adib masih tergantung di suatu sudut rak pakaian di balai berkenaan.

Pakaian lusuh berwarna jingga itu merupakan antara pakaian dibawa bersama Muhammad Adib ketika operasi terakhir Allahyarham pada malam kejadian.

Mohd Khairul Hafiz berkata walaupun Allahyarham sudah tiada, kenangan sepanjang bertugas bersama akan kekal terpahat dalam diri setiap anggota di balai itu.

"Allahyarham telah meninggalkan kita semua, namun semangat juangnya yang tidak pernah putus asa akan dijadikan suntikan baharu buat kami untuk terus memberi khidmat terbaik kepada masyarakat," katanya sambil memegang pakaian operasi Allahyarham.

Jenazah Muhammad Adib selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, Kedah, kira-kira 1.45 tengah hari Selasa. - BERNAMA

Muhammad Adib, bomba

Artikel Lain

Tragis! Ibu maut disengat tebuan