suria

Mahligai Aliff Syukri tersenarai dalam portal hartanah mewah antarabangsa, tapi tetap dikecam!

Aliff Syukri kecewa dengan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

SEBUAH portal hartanah mewah yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Home of The Rich memaparkan mahligai Datuk Seri Aliff Syukri di laman Instagram rasminya pada Rabu.

Instagram @homeoftherich itu memuat naik dua gambar kediaman mewah jutawan kosmetik itu yang menunjukkan Aliff Syukri berdiri di depan gerbang masuk utama dan sebuah lagi gambar beliau di tangga di bahagian dalam rumahnya.

Portal yang mempunyai lebih 273,000 pengikut di laman Instagram tersebut memaparkan gambar-gambar kediaman mewah dari seluruh dunia untuk dijadikan sebagai inspirasi.

Gambar pertama kediaman Aliff Syukri yang dimuat naik oleh @homeoftherich.

Bagaimanapun, terdapat netizen yang tidak berpuas hati dengan posting tersebut dan mendakwa kekayaan yang dipamerkan Aliff Syukri diwarisi daripada ibu bapanya.

"Dia gemar menunjuk-nunjuk kekayaannya yang ditinggalkan oleh ibu bapanya dan ditangkap oleh polis kerana mengelak bayaran cukai jalan," tulis @nick_leesy.

Bagaimanapun, pengguna akaun @guns_and_bullet mempertahankan usahawan berkenaan dan berkata: "Tidak. Kekayaannya bukanlah diwarisi daripada ibu bapanya kerana bapa beliau adalah seorang pengawal keselamatan."

Gambar kedua menunjukkan Aliff Syukri berdiri di tangga utama kediaman mewahnya.

Komen tersebut mendapat perhatian Aliff Syukri yang ternyata kecewa dengan dakwaan yang dilemparkan ke atasnya.

Aliff Syukri pada Khamis memuat naik paparan skrin komen tersebut dan meluahkan rasa sedih dengan sikap rakyat Malaysia yang tidak puas hati dengan kejayaannya.

"Sedih dengan perangai orang Malaysia yang jenis macam ni.

"Bila rumah saya diletakkan antara rumah terhebat oleh laman @homeoftherich, antara rumah yang menjadi perhatian dunia.

"Saya rasa bangga sebab rumah tu hasil usaha saya sendiri bukan rompak duit kalian, tapi ada juga 'bawang-bawang' Malaysia ni yang mendengki.

Paparan skrin menunjukkan komen oleh pengguna Instagram yang mendakwa Aliff Syukri mewarisi kekayaan daripada orang tuanya.

"Komen saya tinggalkan bapa saya sebab malu (dia) pengawal keselamatan la, kaya duit mak bapak la, tak bayar cukai la... sampai ke sana busuk hati, sempat nak kutuk sana sini gigih mencari," luahnya.

Jutawan berusia 31 tahun itu membina Aliff Syukri Palace yang mempunyai 30 bilik tidur termasuk surau, gim dan bilik kebal di Kota Damansara meraih perhatian media pada April lalu.

Kos pembinaan rumah dengan rekaan Royal Modern Classic itu bagaimanapun tidak didedahkan oleh beliau.

Aliff Syukri, home of the rich

Artikel Lain