suria

Setelah 20 tahun berjuang demi reformasi, Anwar sah jadi Presiden PKR

KUALA LUMPUR: Tahun 2018 menyaksikan satu kejutan besar dalam sejarah politik negara apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) kehilangan mandat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas.

Sentimen rakyat pastinya memihak kepada gabungan Pakatan Harapan (PH), barisan yang berjaya ‘menamatkan' penguasaan BN selepas enam dekad menerajui kerajaan. Kini tumpuan adalah kepada  empat parti komponen PH dan sekutunya.

Satu daripada parti gabungan itu ialah Parti Keadlian Rakyat (PKR) yang juga parti berbilang kaum terbesar dan paling dominan dalam PH yang kini memegang tampuk pimpinan negara.

Melalui proses pemilihan yang terpalit pelbagai kontroversi, buat pertama kalinya menggunakan sistem 'e-undi' dan disifatkan paling panjang di negara ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim sah diangkat sebagai presiden pada Kongres Nasional PKR ke-13, 18 Nov lepas.  

Seperti ucapan aluan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail pada kongres bersejarah itu, kongres pada tahun ini begitu signifikan kerana ia adalah kongres yang pertama sebagai parti yang memerintah setelah 20 tahun berjuang dalam politik. 

Ia juga menyaksikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melepaskan jawatan presiden yang diambil alih oleh suaminya Anwar. 

Dalam ucapannya, Saifuddin menyingkap sejarah di mana PKR sebelum ini pernah mengadakan kongres sebagai sekutu dalam Barisan Alternatif, sebagai rakan sekutu dalam PH dan tahun ini kongres pertama kali sebagai sekutu bersama pakatan berkenaan.

Bagi Parti Amanah Negara (Amanah), konvensyen Nasional kali ketiga yang akan diadakan di Perak dari 14-16 Dis akan menyaksikan usul untuk mewujudkan badan pemantau bebas untuk memantau prestasi Menteri, Timbalan Menteri dan pegawai-pegawai lantikan politik daripada parti Amanah.

Setiausaha Agungnya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata Amanah akan mengkaji proses tambah baik lantikan politik dan memastikan keseimbangan antara kalangan profesional dan ahli politik tanpa menjejaskan merit dan kelayakan.

"Ketiga ialah merancakkan kempen untuk mengalu-alukan kemasukan ahli-ahli baru ke dalam Amanah terutamanya daripada PAS, UMNO dan pengundi muda," katanya.

Dijangka 1,000 perwakilan dari 156 kawasan yang sah berdaftar di seluruh negara menghadiri konvensyen itu. - Bernama

Anwar Ibrahim

Artikel Lain