suria

Tragedi pokok manggis

Gambar hiasan.

BERUAS: Seorang lelaki maut dipercayai pengsan ketika memanjat pokok manggis di Jalan Besar Kampung Jawa, di Trong di sini, pagi Ahad.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis, Mohd Amir Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat daripada polis mengenai kejadian itu kira-kira pukul 11.47 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa yang dipercayai berumur lingkungan 59 tahun diperiksa oleh pasukan perubatan di atas pokok itu sebelum disahkan meninggal dunia.

“Pihak bomba kemudiannya menurunkan mangsa menggunakan tali dengan teknik ‘lowering' sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya  ketika dihubungi di sini, Ahad.

Mohd Amir berkata, difahamkan mangsa bersama seorang lagi rakannya memetik buah manggis sejak pukul 8.00 pagi sebelum rakannya beredar ke kebun durian berhampiran dari lokasi kejadian.

“Pokok manggis setinggi tiga meter itu terletak di sebelah rumah rakan mangsa itu. Sebaik rakan  mangsa balik dari kebun durian, dia terkejut melihat mangsa dalam keadaan pengsan di atas pokok dan terus menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan,” katanya sambil menambah operasi tamat kira-kira pukul 12.43 tengah hari. - Bernama

Artikel Lain