PETALING JAYA: Selepas kurang 24 jam surat terbuka ‘kekanda, adinda’ untuk Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menjadi bahan usikan dan sindiran, respon pertama oleh Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa adalah ‘seronok’. Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, beliau sengaja memilih penggunaan bahasa sedemikian bagi menyampaikan mesejnya buat Puteri Reformasi itu. “Seronok saya membaca komen-komen berkisar warkah saya kepada YB (Yang Berhormat) Nurul Izzah. “Saya sengaja memilih lenggok bahasa begitu untuk menyampaikan mesej saya kali ini. Ternyata istilah kekanda adinda lebih menarik perhatian semua,” katanya menerusi perkongsian status dengan tanda pagar warkahdaricordova, di laman Facebooknya, Rabu. ARTIKEL BERKAITAN: Najib persenda surat Mujahid untuk Nurul Izzah, 'Dah berapa malam tak tidur?' Beliau yang berterima kasih di atas teguran semua pihak bagaimanapun meminta surat tersebut dibaca dan dihayati isi kandungannya. “Mungkin berguna buat generasi muda yang melalui liku-liku politik dalaman sama seperti yang saya pernah lalui,” katanya. Antara yang mempersendakan penggunaan bahasa dan ganti nama dalam surat tersebut adalah bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Najib bertanya Mujahid berapa malam beliau tidak dapat tidur kerana risau mengenai Nurul Izzah yang juga bekas naib presiden PKR. “Lepas baca warkah Cordova. Kekanda (Mujahid) tidak boleh tidur kerana bimbangkan keadaan adinda (Nurul Izzah). Drama. “Dah berapa malam tak tidur? Kalau masih tidak boleh tidur, bacalah doa mohon kepada Allah untuk mudah tidur dan tenang," ujar Najib secara berseloroh menerusi perkongsian status di laman Facebooknya pada Rabu. Pada Selasa, Mujahid menulis surat terbuka kepada Nurul Izzah, bertajuk ‘Warkah Dari Cordova Untuk Nurul Izzah’, yang dimuat naik di halaman Facebook beliau. Dalam surat sepanjang 25 perenggan itu, Mujahid memanggil Nurul Izzah sebagai adinda dan membahasakan diri beliau sebagai kekanda. “Ke hadapan Adinda Nurul Izzah yang dikasihi. Kekanda kini dalam perjalanan darat tiga jam dari bandar bersejarah Cordova ke Madrid. Kekanda tidak boleh tidur kerana bimbangkan keadaan adinda setelah keputusan adinda tempoh hari.