suria

Buntu fikir hadiah pelajar praktikal, bos Cina beri telekung tanda perpisahan

Peng Koon memberikan Naqia sepasang telekung sebagai tanda perpisahan.

SETIAP majikan pasti ada cara tersendiri untuk menghargai keringat pelajar praktikal yang bertungkus-lumus memberikan yang terbaik sepanjang menjalani latihan industri di syarikat mereka.

Namun, pengarah syarikat Terang Bulan Landscape Sdn Bhd, Tan Peng Koon pada asalnya buntu untuk mencari hadiah yang sesuai buat seorang pelajar praktikal cemerlang, Naqia Musleh, 22.

Peng Koon, yang juga seorang arkitek landskap berkata sudah menjadi kebiasaan bagi syarikatnya untuk menghadiahkan saguhati kepada pelajar pelatih apabila mereka menamatkan latihan industri.

"Biasanya, kami akan tanya pelajar itu sendiri apakah hadiah yang diinginkan. Tapi, Naqia tidak memberikan hint tentang hadiah yang disukainya.

Naqia tidak kekok melakukan kerja-kerja di tapak pembinaan.

"Saya tidak tahu nak hadiahkan apa. Selepas bertanya kepada kawan-kawan, ada yang cadangkan untuk berikan dia telekung," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Sabtu.

Tambah Peng Koon, beliau tidak menyangka bahawa pelajar dari Universiti Putra Malaysia itu memang berhajat untuk memiliki telekung baharu.

Menurut usahawan yang berasal dari Kemaman, Terengganu itu, pada pandangan peribadinya, hadiah telekung adalah pilihan paling tepat kerana ia bersesuaian dengan personaliti pelajar wanita berkenaan.

Beliau turut memuji prestasi pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Seni Bina Landskap berkenaan yang disifatkan amat cemerlang sepanjang enam bulan menjalani latihan industri di syarikatnya.

"Kami ada satu projek di Kuala Lumpur yang mempunyai masalah dengan pekerja-pekerja tapak.

Peng Koon amat berpuas hati dengan prestasi Naqia sebagai seorang pelajar praktikal.

"Projek itu agak membebankan kerana para pekerja sukar mendengar kata. Saya cuba hantar Naqia untuk selesaikan dan tak sangka pekerja Bangladesh itu boleh mematuhi arahan dia.

"Lebih mengagumkan, dia sendiri pergi tanam pokok bersama-sama dengan pekerja tersebut," katanya yang turut menawarkan pekerjaan kepada Naqia selepas pelajar itu menamatkan pengajian pada tahun depan.

Menurut Peng Koon, perbezaan agama dan kaum tidak pernah menjadi batas kepadanya untuk memberikan peluang kepada mereka yang ingin menjalani latihan industri atau bekerja di syarikatnya.

Perkara utama yang dititikberatkan oleh pengarah syarikat reka bentuk dan bina landskap itu adalah kesungguhan individu tersebut untuk belajar dan menjalankan amanah dengan sebaiknya.

telekung, plelajar praktikal

Artikel Lain