suria

Anak Azmin padam gambar percutian keluarga bersama Hishammuddin?

Gambar percutian keluarga Azmin dan Hishammuddin yang dimuat naik oleh Ameer.

PETALING JAYA: Sekeping gambar keluarga Datuk Seri Azmin Ali dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bercuti di Maghribi mencetuskan spekulasi tentang kepincangan kepimpinan yang berlaku dalam PKR.

Anak sulung Azmin, Ameer memuat naik gambar kedua-dua keluarga bercuti di sebuah resort di Marrakesh ke laman Twitter berserta kapsyen "Our families reunited (Keluarga kami bertemu semula)."

Memetik laporan The Star, Hishammuddin dan Azmin bergambar mesra dan mereka erat berpegangan tangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Azmin gesa Anwar pertimbang semula pelantikan jawatan utama kepimpinan PKR

Sebuah video yang turut dimuat naik oleh Ameer pula menunjukkan kedua-dua keluarga meluangkan masa untuk makan bersama.

Menerusi rakaman video tersebut, Azmin dan Hishammuddin dilihat turut berbual dan Ameer menulis kapsyen, "Reunited after so long (bertemu semula selepas sekian lama)" sebagai deskripsi video berkenaan.

Gambar percutian tersebut dipercayai sudah dipadam oleh Ameer.

Gambar percutian itu muncul selepas kontroversi antara Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Azmin mula diperkatakan susulan pelantikan Majlis Pimpinan Pusat yang diumumkan baru-baru ini.

Beberapa pihak turut mendakwa Hishammuddin terlibat untuk menghalang Anwar daripada bergelar perdana menteri.

Bagaimanapun, tinjauan mStar Online mendapati gambar dan video tersebut sudah dipadam oleh Ameer.

Seorang pelayar Twitter, Ahmad Ashraf berkata: "Memang sengaja 'kantoikan' diri sendiri ke apa? Jauh mesyuarat luar negara satu keluarga..."

Ameer kemudian membalas ringkas: "Cuba jangan cakap mengarut."

Ameer Azmin, Azmin Ali, Hishammuddin

Artikel Lain