PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini merasmikan arca ‘Putrajaya', iaitu mercu tanda tarikan terkini di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan. Dengan latar belakang Perdana Putra, yang menempatkan pejabat Perdana Menteri, arca yang direka bentuk dengan imej abstrak berwarna-warni itu menampilkan keunikan paparan imej grafik yang boleh ditukar ganti. Majlis perasmian mercu tanda Putrajaya baharu di Dataran Putra, Presint 1 itu turut dihadiri Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim.Arca berketinggian 2.4 meter (lapan kaki) yang diperkukuhkan dengan asas tapak huruf berkelebaran 1.5 meter (lima kaki) serta panjang keseluruhan huruf sepanjang 22 meter (66 kaki) itu dibina daripada ‘stainless steel' (keluli tahan karat) supaya tahan lasak, manakala bahagian belakang huruf-huruf yang membentuk perkataan Putrajaya pula berimejkan kibaran Jalur Gemilang. Aminuddin berkata pembinaan arca hasil inspirasi pegawai-pegawai muda PPj itu menjadi manifestasi keutuhan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan persekutuan sejak dibangunkan pada 1995. Beliau berkata idea pembinaan arca itu antara perancangan pelan penceriaan Putrajaya yang dibentangkan kepada Perdana Menteri pada 12 Disember lepas dan kerajaan menetapkan tempoh sehingga Mac depan untuk disiapkan. "Alhamdulillah dalam tempoh singkat kita dapat bangunkan arca ini dan Dataran Putra dipilih sebagai lokasi yang juga tapak asal Putrajaya mula dibangunkan," katanya. Aminuddin berkata imej grafik pada perkataan itu akan ditukar setiap enam bulan sekali yang disesuaikan dengan tema semasa seperti sambutan hari kebangsaan. "Perdana Menteri amat berpuas hati dengan rekaan arca dan mahu lebih banyak idea menceriakan Putrajaya dapat dilaksanakan di masa depan," katanya.- Bernama