suria

Karakter kartun sambut kehadiran murid, hilang rasa takut hari pertama ke sekolah

PETALING JAYA: Pelbagai cara dilakukan bagi menghilangkan rasa takut khususnya kepada murid tahun satu pada hari pertama persekolahan mereka.

Sesetengah sekolah misalnya diserikan dengan kehadiran maskot Upin dan Ipin, Mickey dan Minnie Mouse serta Power Rangers.

Di Pasir Gudang pula, karakter adiwira Spider-Man dan Upin Ipin dibawakan khas ke sekolah bagi menyambut kehadiran 490 pelajar.

Malah, maskot Marrybrown Chipmunk turut dibawa bagi menghilangkan rasa gemuruh untuk murid-murid di sekolah tersebut.

Bapa kepada tiga anak, Nik Mohd Al Amir Ismail, 34, berkata, anak sulungnya Nik Mohd Putra Aqil, 6, begitu gementar sewaktu tiba di sekolah SK Taman Scientex.

"Apabila dia nampak Upin dan Ipin, dia berlari ke arah maskot dan peluk mereka.

"Dia gembira ke sekolah, khususnya dengan kehadiran karakter-karakter itu," katanya.

Seorang lagi ibu, Salmia Muharibain, 38, berkata anaknya Nur Farisah Damia Amri menangis sewaktu ke sekolah.

Namun, anaknya kembali ceria selepas dihampiri maskot Chipmunk dan Upin Ipin.

"Bagus sekolah bagi mereka gembira macam ni, ibu-bapa pun bersyukur," ujarnya.

Presiden Persatuan Ibu-bapa dan Guru (PIBG) SK Taman Scientex, Abdul Nasir Sabran berkata, program membawa maskot kartun itu dimulakan pada 2015.

"Ia bertujuan untuk mengalu-alukan kehadiran pelajar dan bagi mereka rasa selesa di sekolah," ujarnya.

Sebelum ini, sekolah itu pernah membawa Micke Mouse, Minnie Mouse, Darth Vader, Minions, Ultraman dan Kung Fu Panda. - The Star.

Artikel Lain