KUALA LUMPUR: Kabinet telah mencapai keputusan mengenai mekanisme harga bahan api, dan ia akan diumumkan pada Jumaat. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang berkata demikian pada Khamis bagaimanapun tidak menjelaskan mengenai bentuk mekanisme yang diputuskan oleh Kabinet. "Sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) bahawa keputusan mengenai harga RON95 dan diesel akan diputuskan oleh Kabinet. "Kabinet telah mengadakan mesyuarat semalam (2 Januari) untuk berbincang mengenai perkara ini dan telah mencapai satu keputusan. "Ia akan diumumkan esok," kata Saifuddin pada sidang media sempena pelancaran kempen Tahun Baharu Cina 'Ong Mali' oleh Tesco. Saifuddin berkata, pengumuman akan dibuat menerusi saluran rasmi kerajaan. Menteri itu turut memberi jaminan bahawa keputusan yang dibuat oleh Kabinet itu mengambil kira kepentingan semua pihak berkepentingan. Sistem apungan secara mingguan pada awalnya dicadangkan bermula dari 1 Januari tetapi ditangguhkan. Guan Eng berkata, sistem apungan mingguan akan digunakan untuk menetapkan harga bahan api RON95 dari 1 Januari berikutan kejatuhan harga minyak mentah, yang akan membolehkan pengguna menikmati harga lebih rendah. Bagaimanapun, pada Isnin lalu, kerajaan mengumumkan harga bahan api runcit kekal tidak berubah bagi minggu pertama 2019. RON97 kini berharga RM2.50, manakala RON95 ialah RM2.20 dan diesel RM2.18 seliter sehingga harga runcit baharu diumumkan. - The Star