PETALING JAYA: Usahawan kosmetik, Safiey Ilias terus dipalit dengan kontroversi apabila berpenampilan seksi ketika bercuti di Pulau Langkawi, baru-baru ini. Gambar-gambar yang dimuat di laman Instagramnya sendiri memaparkan Safiey atau nama sebenar Mohd Saifuddin Ilias tanpa segan silu memakai bikini dan pakaian wanita, sehingga menimbulkan pelbagai reaksi netizen. Ia turut menarik perhatian Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menulis surat terbuka buat usahawan muda itu. “Kami menerima beberapa keping gambar saudara yang ditularkan beberapa hari lepas. Sejujurnya, saya tidak pasti sama ada ianya benar ataupun tidak. Apapun, anggaplah surat terbuka ini sebagai satu luahan yang jujur, penuh kasih sayang daripada seorang saudara Muslim kepada saudaranya yang lain. “Hati saya terdetik untuk menyampaikan surat terbuka kepada saudara Safiey Ilias walaupun sebelum ini sudah ada niat untuk berjumpa tetapi saya merasakan perlunya sebuah perkongsian dengan saudara dalam memahami haqiqat al-hayah,” kata mufti menerusi catatan Qalam Mufti: Safiey, Jom Mengeteh!, pada Jumaat. Safiey Ilias berbikini semasa bercuti di Pulau Langkawi, baru-baru ini. Foto Instagram safieyilias94 Safiey yang sebelum ini pernah menjadi sebutan kerana keputusannya untuk berhijrah daripada seorang mak nyah untuk kembali kepada fitrah, disifatkan oleh mufti sebagai satu perkhabaran yang gembira. “Semasa saudara mengumumkan untuk ‘berubah’, saya antara individu yang amat gembira dengan keputusan tersebut. Apa yang pasti, sudah tentu ia juga menggembirakan ibu bapa saudara. “Namun, laut tidak selalunya tenang. Saya faham dan mengikuti siri-siri tekanan yang saudara terima dalam usaha untuk kekal dengan ‘imej baharu’. Dan, saya tahu yang ianya amat-amat sukar untuk dilalui dan pahit untuk ditelan. ARTIKEL BERKAITAN: Video kontroversi: Safiey Ilias mohon maaf, janji tak akan cemar imej agama Safiey Ilias atau nama sebenarnya Mohd Saifuddin Ilias. Menurut Zulkifli, beliau melihat Safiey benar-benar berusaha untuk keluar dari segala permasalahan tersebut namun Allah SWT lebih mengetahui apa yang telah diaturkan-Nya. “Sejujurnya, saya katakan saudara adalah antara insan yang istimewa dengan pelbagai kurniaan nikmat yang Allah anugerahkan kepada anda. Alangkah baiknya anugerah tersebut disyukuri mengikut neraca syariat seperti ajaran Nabi SAW,” katanya. Terdahulu, Safiey dilaporkan pernah membuang implan payu dara selain menunaikan umrah, sebagai usahanya untuk kembali ke pangkal jalan. Usahawan berusia 25 tahun itu bagaimanapun kembali tampil berpakaian wanita, sekali gus mengejutkan banyak pihak. (Kiri) Penampilan terbaharu Safiey Ilias. (Kanan) Safiey Ilias sewaktu menunaikan umrah, selepas mengambil keputusan untuk berhijrah kepada fitrah sebagai lelaki. Zulkifli berkata, Safiey dijemput ke pejabat beliau untuk berkongsi pandangan dan luahan bagi membolehkannya membantu usahwan muda itu untuk kebaikan bersama. “Saya tidak pasti samada ruang yang tersedia ini sesuai atau tidak. Namun, saya dengan rendah hati menjemput saudara ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk kita bertukar-tukar pandangan, berkongsi rasa hati dan mungkin ada sudut yang boleh saya bantu untuk kebaikan bersama. “Pada dasarnya, saya cuba memahami perasaan dan kehendak saudara. Mungkin boleh sama-sama kita duduk mengeteh dan berbincang secara santai untuk kebaikan kita semua,” katanya.