ALOR SETAR: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima cedera parah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat di sebuah sekolah di Alor Setar, Isnin. Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 7.04 pagi, dan pelajar berkenaan ditempatkan ke Zon Merah sebaik tiba di hospital pada pukul 7.40 pagi. "Pelajar itu tidak sedarkan diri dan berada dalam keadaan kritikal yang memerlukan alat bantuan pernafasan. Dia dirawat oleh doktor pakar Kecemasan dan Trauma serta pakar pembedahan dan pakar Ortopedik. "Hasil pemeriksaan mendapati pelajar itu mengalami kecederaan patah tulang di bahagian tengkuk, kedua-dua peha kanan dan kiri, selain luka di bahagian dahi kanan," katanya dalam kenyataan hari ini. Dr Norhizan berkata pasukan doktor pakar masih berusaha untuk menstabilkan keadaan pelajar itu.- Bernama