suria

Tony kata KLIA2 macam zoo, MAHB jawab 'perkara biasa ruang tertentu airport dihurung lebah'

PETALING JAYA: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menafikan dakwaan terdapat sarang lebah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan MAHB pada petang Selasa, gambar yang tular di media sosial merupakan sekumpulan lebah yang memenuhi ruang di Bay Q4 KLIA2.

"Kami menyedari perkara itu. Adalah menjadi kebiasaan ruang tertentu di lapangan terbang dihurung sekumpulan lebah dan haiwan itu akan beredar sekiranya hujan atau ribut.

"Sekumpulan lebah itu dikesan berada di ruang tersebut antara pukul 10 pagi hingga 11 pagi tadi," katanya.

MAHB berkata, pihaknya akan memantau situasi itu dari masa ke semasa.

"Jika sekumpulan lebah itu tidak beredar menjelang malam, kami akan memanggil pihak kawalan serangga untuk menghalau haiwan tersebut bagi mengelak ia daripada membuat sarang di situ.

"Aktiviti menghalau lebah itu kebiasaannya dilakukan pada sebelah malam atas sebab keselamatan," katanya.

Sekumpulan lebah dikesan menghurung tingkat sebuah platform di KLIA2.

Sekiranya haiwan itu masih ada di ruang tersebut sehingga lewat petang ini, MAHB berkata tindakan segera akan diambil.

"Kami bersedia menghalau lebah itu kira-kira pukul 8 malam nanti," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu tikus, sekarang lebah pula! Tony sindir KLIA2 macam zoo

Malah MAHB berkata, tiada sebarang insiden buruk dilaporkan membabitkan kumpulan lebah itu pada masa lalu.

Terdahulu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes menyindir MAHB selepas sarang lebah dikesan menghurung tingkap sebuah platform di KLIA2.

"Sekarang kita ada lebah di KLIA2. Kita ada ulat sampah, tikus dan sekarang lebah. Mungkin sebuah zoo atau madu KLIA2?

"Boleh jadi pendapatan baharu yang boleh mengurangkan cukai lapangan terbang.

"Jokes aside, perkara ini membahayakan penumpang dan kakitangan saya. Adakah CEO baharu yang jarang berkomunikasi boleh menyelesaikan masalah ini?," katanya menerusi satu posting di Twitter, malam Isnin.

Tony turut memuat naik sekeping gambar yang menunjukkan tingkap di sebuah platform di KLIA2 dihurung haiwan itu.

MAHB, lebah

Artikel Lain