YAN: Bapa kepada dua beradik yang maut ditetak dan dikelar seorang lelaki dalam kejadian di Kampung Tengah, Kuala Sungai Yan, malam Selasa lalu memaklumkan yang beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan suspek yang juga merupakan kenalannya. Idris Saad, 47, berkata beliau dan lelaki itu (suspek) sering berjumpa dan minum di warung berdekatan selain membantu rakannya itu apabila dia memerlukan wang. "Dua hari sebelum kejadian, suspek turut berperangai pelik apabila datang ke rumah saya seorang diri dan meminta maaf daripada saya. Saya tak tahu apa sebab dia (suspek) minta maaf, tapi saya kata kat dia, saya maafkan dia. "Dalam hati saya kata dia mungkin rasa bersalah sebab selalu pinjam wang dan sering belanja dia. Dalam kami berkawan baik, tiba-tiba dia datang serang keluarga saya sehingga dua anak saya diperlakukan sedemikian," katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Tengah, Kuala Sungai Yan di sini, Khamis. Idris berkata, suspek juga pernah beberapa kali mengamuk sebelum ini termasuk mencederakan abang ipar suspek sendiri serta beberapa penduduk kampung. "Malam kejadian saya tiada di rumah kerana turun ke laut dan sebab apa dia menjerit memanggil nama saya pun saya tak pasti," katanya yang reda dengan pemergian dua anaknya itu. Sementara itu, seorang kenalan rapat kepada suspek, Omar Bakar, 53, berkata suspek pernah mengadu kepadanya bahawa dia tertekan hidup sendirian selepas ditinggalkan isteri dan dua anaknya. "Pada malam kejadian pun dia ada datang jumpa saya beritahu dia tertekan dan saya suruh dia ambil air sembahyang sebelum kami solat Maghrib bersama. "Selepas itu saya tak tahu dia pergi mana sampailah saya diberitahu anak saya yang dia mengamuk di rumah Idris dan membunuh anak-anak kawannya sendiri," katanya yang terkejut dengan tindakan suspek itu. Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Kedah, SAC Mior Faridalathrash Wahid berkata, keputusan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis kanabis. "Kita telah mendapat keputusan tersebut dan akan dimasukkan ke dalam kertas siasatan bagi melengkapkan kes," katanya dalam kenyataan pada Khamis. Suspek kini direman selama seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Dalam kejadian pada malam Selasa lalu, dua anak Idris, Nurul Hanim, 5, dan Mohammad Hafiz, 1, maut selepas ditetak dan dikelar suspek di kediamannya di kampung tersebut. - BERNAMA