KUALA LUMPUR: Sindiket pemerdagangan manusia yang menyeludup migran dari negara Asia Selatan ke Australia dan New Zealand ditumpaskan dengan penahanan 37 warga asing, kata Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. Ketua Polis Negara berkata, Bukit Aman telah mengadakan beberapa serbuan di Klang pada 4 Januari lalu dan menahan 34 migran termasuk 24 dari Sri Lanka melibatkan 12 lelaki, lapan wanita dan empat kanak-kanak, serta 10 warga India merangkumi empat lelaki, tiga wanita dan tiga kanak-kanak. "Kami juga menahan tiga lelaki warga Sri Lanka yang dipercayai anggota sindiket yang beroperasi sejak pertengahan tahun lalu. "Sindiket itu mempunyai jaringan sekitar Sri Lanka, India, Australia dan New Zealand," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat. Katanya, sindiket itu memiliki bot pelancong dan dalam proses membeli tiga injin bot untuk tujuan menyeludup migran ke Australia dan New Zealand. Beliau menambah, laluan utama untuk ke kedua-dua negara itu adalah melalui perairan Klang. "Kami sedang menyiasat lanjut untuk membongkar sindiket berkenaan serta jaringan penyeludupannya," katanya. Katanya, suspek kes itu akan disiasat mengikut Akta Imigresen kerana memasuki negara ini secara tidak sah dan cuba meninggalkan Malaysia dengan cara sama. "Kes itu juga akan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) 2012 dan Akta Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran 2007," katanya.