suria

Adik Aariz Harraz Zahin dipercayai jadi mangsa dera pengasuh meninggal dunia

Aariz Harraz Zahin meninggal dunia selepas alat sokongan hayat dihentikan. - Foto Facebook

SIBU: Bayi lelaki yang kritikal selepas dipercayai didera pengasuhnya di Taman Permai di sini Isnin lalu, meninggal dunia di Hospital Sibu pada Ahad.

Aariz Harraz Zahin Azman, sembilan bulan, menghembuskan nafas terakhir di pangkuan ibunya Hajijah Tahir pada 11.55 pagi selepas alat sokongan hayatnya dihentikan pada 11.30 pagi.

Bayi tersebut disahkan ‘mati otak' pada 9.10 pagi semalam oleh pasukan perubatan yang merawatnya.

Menurut Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit, keputusan untuk menghentikan mesin sokongan hayat itu dipersetujui oleh ibu bapa bayi malang berkenaan semalam selepas hasil ujian ke atas otak mangsa untuk kali kedua semalam  kekal sama.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Nangka Dr. Anuar Rapa'ee yang hadir di hospital untuk menziarah mangsa, meminta masyarakat memberi ruang kepada kedua ibu bapa bayi tersebut untuk bersama keluarga bagi menghadapi tragedi berkenaan.

"Sekarang kita serah kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita.  

Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa berada dalam keadaan lemah ketika diambil dari rumah suspek di Taman Permai di sini sebelum dikejarkan ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut.

Berdasarkan pemeriksaan pakar kanak-kanak, mangsa disahkan mengalami pendarahan pada otak dan kedua-dua matanya selain mengalami retak pada bahagian kiri kepala dipercayai akibat hentakan kuat.

Suspek yang berusia 39 tahun ditahan polis pada hari berikutnya susulan laporan polis yang dibuat oleh bapa mangsa.

Wanita itu kemudiannya dilaporkan mengaku menggoncang bayi terbabit kerana tidak berhenti menangis dan mendakwa tertekan kerana mengalami kesakitan akibat haid.

Siasatan mendapati suspek tidak mempunyai lesen untuk menjalankan pusat asuhan dan hanya membantu menjaga kanak-kanak yang dihantar oleh ibu bapanya pada waktu bekerja. - Bernama

pengasuh, kes dera

Artikel Berikut

Artikel Lain