PEKAN: Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Selasa dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang VI, menggantikan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah. Pemasyhuran yang penuh adat istiadat diraja di Balairung Seri, Istana Abu Bakar diumumkan oleh Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, yang membacakan Pengisyitiharan Pelantikan Raja di bawah Perkara 9A Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang (Bahagian Pertama). "Maka adalah dengan ini dimasyhurkan bagi pengetahuan orang ramai bahawa Jumaah Pangkuan Negeri kali ke-110 yan bermesyuarat pada 11 Januari 2019 bersamaan 5 Jamadilawal 1440 Hijrah dan mengikut hukum syarak telah bersetuju memilih, melantik dan memasyhurkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Mahkota Tengku Abdullah Alhaj DK SSAP, SIMP, DK Terengganu, DK Johor, Pemangku Raja Pahang, Waris Ganti menjadi raja pemerintah yang menaiki takhta negeri Pahang dan segala jajahan takluknya bagi menggantikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah berkuatkuasa 11 Januari 2019 bersamaan 5 Jamadilawal 1440 Hijrah. "Maka yang demikian ketahuilah pada semua yang hadir seluruh rakyat Pahang dan semua orang supaya mengambil maklum dan menjunjung taat setia kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah Alhaj ibni Sultan Haji Ahmad Shah," katanya. Pemasyhuran Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang yang baharu pada Selasa melayakkan baginda dalam senarai pemilihan sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI. Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi tujuan memilih Yang di-Pertuan Agong baharu, berikutan peletakkan jawatan oleh Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong XV pada 6 Januari lepas, akan diadakan pada 24 Januari ini di Istana Negara. Mengikut konvensyen penggiliran senarai sembilan negeri beraja, turutan negeri dalam pusingan pertama sistem penggiliran ini sejak 1957 ialah Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak. Pada istiadat pemasyhuran itu, selesai membaca Pengisyitiharan Pelantikan Raja, Tengku Abdul Rahman mempersembahkan watikah Pemasyhuran Pelantikan Raja kepada Sultan Abdullah. Orang Kaya Indera Pahlawan kemudiannya dititah menghadap sebelum menyembahkan Titah Ikrar kepada Sultan Abdullah, 59, yang sejurus itu menyempurnakan ikrar berkenaan. Sultan Abdullah, yang berbaju Melayu tenun Pahang berwarna kuning diraja, kemudiannya melafazkan sumpah sebagai Sultan dan Raja Pemerintah bagi negeri Pahang dan dan segala jajahan takluknya. "Bahawa beta dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku dan taat setia bagi menjalankan dengan adil dan amanah pemerintahan bagi negeri Pahang dan segala jajahan takluknya mengikut sebagaimana undang-undang tubuh jajahan negeri Pahang yang telah dan yang akan disahkan serta dimasyhurkan dari semasa ke semasa," titah baginda. Sultan Abdullah berikrar dan mengaku akan bersungguh-sungguh memelihara dan mempertahankan pada setiap masa kesucian agama Islam, keamanan dan kesejahteraan rakyat dan negeri Pahang. - BERNAMA